Syarikat kroni amal 'ali baba', melobi ambil komisen - MTEM

Laporan Sinar Harian. (Kanan: Azlan)
Laporan Sinar Harian. (Kanan: Azlan)
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat yang terlibat dengan amalan 'ali baba' kebiasaannya merupakan syarikat kroni yang mempunyai 'kabel’ untuk melobi lazimnya hanya untuk mengambil komisen.

Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Azlan Awang berkata, kerana itu sepatutnya hanya syarikat-syarikat bumiputera yang mempunyai sumber dan pengalaman layak diberi peluang dalam kontrak kerajaan sebagai cara memastikan amalan 'ali baba' dalam perniagaan dapat ditangani.

Menurutnya, amalan tersebut mengakibatkan masyarakat bumiputera tidak dapat menjana aktiviti-aktiviti hiliran dan memaksimumkan nilai tambah.

"Pelbagai kontrak kerajaan telah diberi keutamaan kepada syarikat bumiputera melalui Dasar Keutamaan Kepada Syarikat Bumiputera yang telah dikuatkuasakan dari tahun 1995, namun sumbangan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bumiputera kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara hanyalah sebanyak 38 peratus (RM520 bilion).

"Selama ini, tiada tindakan yang boleh disabitkan ke atas usahawan yang mengamalkan konsep ali baba dalam perniagaan disebabkan tiada penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan.

"Hal ini menyebabkan kumpulan tersebut bertindak semakin agresif dan mengakibatkan kemudaratan lebih-lebih lagi kepada usahawan bumiputera," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Terdahulu media melaporkan, Kementerian Ekonomi bakal memperkenalkan satu undang-undang khusus bagi membanteras amalan ‘ali baba’ dalam kalangan usahawan.

Menterinya, Rafizi Ramli berkata, pihaknya sedia mempertimbangkan untuk membawa isu tersebut ke Parlimen agar ia dapat digubal secara spesifik dalam bentuk akta baharu.

Sehubungan itu, Azlan berkata, MTEM menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan Dasar Anti Ali Baba yang diumumkan.

Pihaknya juga berharap agar pihak kerajaan dapat merangka rang undang-undang berkaitan dengan teliti dan terperinci dengan mengambil kira semua aspek yang berkaitan agar ekonomi bumiputera terus terbela dan dapat dipertingkatkan.

"Penguatkuasaan undang-undang ini juga akan dapat meminimumkan kerugian kewangan negara, memberi keadilan dan membuka peluang kepada usahawan bumiputera yang tulen dan benar, yang berpotensi untuk mendapatkan kontrak perolehan kerajaan.

"Ia juga memulihkan kepercayaan orang awam kepada integriti dan ketelusan proses tender serta menjamin pembangunan mampan di Malaysia," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Kerajaan kaji dasar, undang-undang banteras 'Ali Baba' - PM

Isu ali baba: Kerajaan diminta ambil kira pandangan pemegang taruh