MCMC, PDRM kaji keperluan tubuh unit teliti kes 3R

Fahmi Fadzil - Foto Bernama
Fahmi Fadzil - Foto Bernama
A
A
A

BANGI - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengkaji keperluan untuk menubuhkan satu unit khas bagi meneliti kes-kes berkaitan dengan isu 3R (kaum, agama, raja) yang sering dimainkan semasa tempoh kempen pilihan raya, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, ia susulan data yang dikeluarkan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) berhubung Pilihan Raya Umum ke-15; dan melihat kepada sebilangan besar isu 3R dimainkan dalam tempoh yang begitu singkat, ia adalah sesuatu yang amat membimbangkan.

"Sebab itu saya percaya MCMC dan PDRM perlu menilai keperluan untuk mungkin menubuhkan unit khas... jenis politik terdesak yang menggunakan 3R semasa kempen (pilihan raya) ini tidak boleh dibiarkan berterusan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Persidangan Antarabangsa Komunikasi, Budaya dan Media Kontemporari (GLOCOM) 2023.

Fahmi turut meluahkan rasa kecewanya berikutan tindakan segelintir ahli politik yang menggunakan bahan 3R dalam kempen mereka, walaupun Raja-raja Melayu telah bertitah supaya kempen politik tidak menyentuh perkara mengenai 3R ini.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain juga telah mengingatkan semua orang supaya mengelak daripada sensitiviti 3R semasa tempoh berkempen untuk pilihan raya negeri akan datang.

"Mereka yang terus memainkan isu 3R, saya rasa akan berhadapan dengan undang-undang. Amaran telah diberikan, saya rasa amaran yang mencukupi telah diberikan, itu sebabnya malam tadi saya telah katakan, siap-sedialah untuk hadapi akibatnya," katanya.

Semalam Fahmi melahirkan rasa kecewa dan mengecam kenyataan yang dikeluarkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa pada satu ceramah (ceramah politik), Sanusi telah membuat kenyataan yang dikatakan menghina Sultan Selangor.

Ketika ditanya mengenai cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said untuk mempertimbangkan akta baharu bagi mengenakan hukuman sivil terhadap mereka yang memainkan sentimen 3R, Fahmi berkata beliau menyambut baik cadangan itu.

Sementara itu merujuk kepada maklumat grafik mengenai bil barangan runcit yang dikeluarkan oleh Jabatan Komunikasi Masyarakat (J-KOM) yang mendapat kritikan hebat, Fahmi berkata, beliau telah bercakap dengan ketua pengarah jabatan itu Datuk Mohammad Agus Yusoff mengenai perkara itu dan ia akan diselaraskan dengan lebih baik pada masa depan.

Fahmi berkata, beliau telah meminta jabatan itu memastikan kandungan yang dipaparkan kepada umum telahpun disemak berdasarkan angka-angka yang tepat, di samping naratif yang disasarkan untuk ditetapkan oleh kementerian-kementerian yang berkaitan.

"Saya telah menyemak dengan kedua-dua pihak; JKOM serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dan memastikan bahawa nombor yang ditunjukkan dalam grafik itu adalah betul, yakni dari segi fakta memang betul, namun aduannya ialah adalah o- tidak sensitif kepada isu (tone deaf).

"Saya setuju, saya rasa JKOM mungkin perlu melihat beberapa modus operandi dan memberi tumpuan terhadap beberapa aspek utama.. Kita akan adakah perbincangan dalaman selepas ini," katanya.

GLOCOM 2023 merupakan inisiatif Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) untuk melaksanakan perkongsian strategik dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi mengukuhkan peranan IPPTAR sebagai pusat kecemerlangan dalam pendidikan bagi anggota perkhidmatan dalam sektor komunikasi.

Persidangan dengan tema 'Cultivating Knowledge for the Future Communication' itu diselaraskan dengan prinsip dan matlamat konsep MADANI dalam mengubah Malaysia menjadi sebuah negara yang makmur dan maju dengan menerima perubahan, menggabungkan pelbagai perspektif dan melaksanakan pembaharuan substantif menerusi kerjasama akademik dalam industri komunikasi.

GLOCOM 2023 berlangsung selama tiga hari dari 12 hingga 14 Julai secara hibrid. - Bernama



ARTIKEL BERKAITAN:

'Itu sikap sebenar Sanusi' - Amirudin

Hina Sultan: AMK Selangor akan buat laporan polis terhadap Sanusi

"Sanusi perlu buat taubat Nasuha'' - Ahmad Zahid

'Kenyataan Menteri Besar Kedah melampau, kurang ajar'

Hina Sultan: AMK Selangor buat laporan polis

Hina Sultan: Pihak berkuasa perlu buka kertas siasatan terhadap Sanusi