Conteng wajah PM: Elak mainan politik ekstrem - Mahdzir

Gambar wajah Anwar yang diconteng tular di media sosial.
Gambar wajah Anwar yang diconteng tular di media sosial.
A
A
A

ALOR SETAR - Perbuatan menconteng wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada papan iklan di beberapa daerah di negeri ini menjurus kepada permainan politik ekstrem.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, politik melampau seumpama itu membahayakan dan tidak boleh dibiarkan berleluasa dalam negara kerana mendatangkan banyak keburukan.

Menurutnya, kebencian melampau tidak seharusnya menjadi amalan dalam politik negara dan seharusnya mempunyai had tertentu.

"Kalau tak suka pun, ada had dan tidak boleh dilanggar. Sebab itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkali-kali mengingatkan jangan sentuh isu 3R (agama, kaum dan institusi raja) agar tiada pihak melangkaui batas.

“Kita mahu politik matang daripada kepimpinan parti sama ada pihak kerajaan atau pembangkang, mesti ada nilai kebijaksanaan. Kalau bawa politik ekstrem, melampau, hanya membawa kepada kemusnahan negara,” katanya dalam sidang akhbar bersama Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar di sini pada Khamis.

Mahdzir (kanan) dan Mahfuz pada sidang akhbar di Alor Setar.
Mahdzir (kanan) dan Mahfuz pada sidang akhbar di Alor Setar.

Mahdzir berkata, negara tidak akan aman sekiranya politik melampau dibudayakan sebaliknya harus sentiasa bersikap rasional.

“Jangan gaduh (politik) sehingga ke tahap ekstrem, jangan biarkan penyokong hingga ke peringkat melampau, timbul kebencian, itu tidak boleh diamalkan dalam politik,” ujarnya.

Menurutnya lagi, kepimpinan semua peringkat sewajarnya menunjukkan teladan yang baik ketika berkempen, namun apa yang dibimbangi masih terdapat pemimpin politik membuat kenyataan berbaur hasutan.

"Jangan salahkan pihak berkuasa kalau disiasat bawah Akta Hasutan. Budaya menconteng, hasutan, bertindak ekstrem sudah tak boleh diterima kerana kita dalam alaf teknologi kecerdasan buatan (AI) dan dunia digital, tetapi masih lagi bawa politik lama (melampau)," katanya.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh memaklumkan, pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan terhadap tindakan pihak tertentu menconteng serta merosakkan papan iklan yang memaparkan wajah Perdana Menteri.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku di daerah Kubang Pasu dan Kulim.

Sementara, Mahfuz mendesak agar pihak polis segera mengambil tindakan kepada pihak yang melakukan perbuatan khianat tersebut.

"Ini satu perbuatan khianat yang tak boleh dibiarkan. Takkanlah kita nak ulang semula politik era 60-an atau 70-an pada zaman ini?

"Sepatutnya kita amalkan politik matang serta saling menghormati antara satu sama lain. Pihak polis harus segera siasat dan ambil tindakan terhadap pelakunya," katanya.