Isu 3R: Polis pantau semua medium termasuk media sosial

Razarudin
Razarudin
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memantau kenyataan dikeluarkan mana-mana pihak termasuk yang dimuat naik menerusi medium media sosial.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pemantauan turut melibatkan mana-mana kenyataan atau ucapan yang dikeluarkan oleh ahli politik menerusi kempen secara maya.

"Polis tegas dalam melaksanakan pemantauan ini bukan sahaja melibatkan isu 3R (raja, agama dan kaum) semata-mata, namun sebarang isu yang sensitif sama ada menerusi program atau secara maya.

"Pasukan teknikal yang terdiri daripada pegawai penyiasat akan ditugaskan untuk merakam setiap ucapan bagi tujuan memantau sebarang aktiviti yang boleh mengganggu keharmonian dan perpaduan," katanya pada Rabu.

Beliau berkata, pemantauan dilaksanakan bermula hari penamaan calon pada 29 Julai sehinggalah hari pengundian pada 12 Ogos.

"Kita memberikan ingatan bahawa tiada siapa yang terlepas dalam soal isu 3R ini, mana-mana pihak yang didapati cuba memainkan isu ini tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

"Polis mahu memastikan agar keamanan dan ketenteraman awam sentiasa terjamin dan isu 3R ini seharusnya tidak dimainkan oleh mana-mana pihak," katanya.

Menurutnya, orang ramai khususnya pengguna media sosial perlu bijak dalam melontarkan sebarang pendapat.

"Jadilah pengguna bijak yang sentiasa menjunjung prinsip demokrasi dengan melontarkan idea tanpa menyentuh isu sensitif," katanya.

Pada Rabu, kerajaan memberi amaran terakhir pada mana-mana pihak yang memainkan sentimen isu 3R sehingga melanggar undang-undang dan mencabar perlembagaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan itu mengatasi kepentingan mana-mana pihak dan melibatkan soal keselamatan negara.