Rayuan sabitan, hukuman penjara Siti Bainun 12 Oktober

Siti Bainun
Siti Bainun
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, menetapkan prosiding pendengaran rayuan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali berhubung sabitan hukuman 12 tahun penjara kerana mengabai dan menganiaya remaja Sindrom Down dikenali Bella, dijalankan pada 12 Oktober depan.

Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas selaku responden berkata, mahkamah memutuskan demikian ketika pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Nur Azizah Jaafar.

Menurutnya, pihak Siti Bainun selaku perayu perlu memfailkan hujahan bertulis selewat-lewatnya 27 September depan sementara pasukan responden memfailkan hujahan sama pada atau sebelum 5 Oktober.

"Mahkamah menetapkan tarikh hujahan balas adalah pada masa yang sama perbicaraan rayuan dibuat.

“Bagaimanapun, petisyen rayuan masih belum diterima dan pengurusan kes seterusnya dijadualkan pada 14 September ini," katanya ketika dihubungi pemberita selepas prosiding pengurusan kes.

Sementara itu, peguam, Fatin Syaza Irdina Muhamad Eddin Syazri hadir bagi mewakili Siti Bainun mengesahkan tarikh prosiding berkenaan.

Pada 3 Mei lepas, Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan Siti Bainun menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13, di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Wanita itu dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.

Dia juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Pada 23 Mei, Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman penjara kerana tiada keadaan khas mewajarkan pengasas Rumah Bonda itu dilepaskan sementara menunggu rayuan sabitan serta hukuman didengar.

Ini bermakna wanita berusia 31 tahun itu kekal dipenjarakan sementara menunggu rayuan terhadap sabitan dan hukuman diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.