Rukun Negara 'penawar' perpaduan rakyat

Mohamed Arshad (tengah) pada sidang media bagi menggerakkan Gelombang Perpaduan di Kelab Diraja Selangor, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada Selasa.
Mohamed Arshad (tengah) pada sidang media bagi menggerakkan Gelombang Perpaduan di Kelab Diraja Selangor, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas 66 tahun negara mencapai kemerdekaan, masih terdapat dalam kelompok rakyat yang masih mempersoalkan dan mempolitikkan isu melibatkan kaum dan agama.

Susulan itu, badan bukan kerajaan (NGO) yang menggelarkan diri mereka sebagai Gabungan Patriotisme dan Perpaduan Kebangsaan (GPPK) menggerakkan kempen gelombang perpaduan bagi menyemai kembali semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Pengerusi GPPK yang juga Presiden Patriot, Brigadier Jeneral (B) Datuk Mohamed Arshad Mohamed Raji berkata, GPPK yang terdiri daripada gabungan 60 NGO mempunyai tekad dan aspirasi mahu melihat negara serta rakyat negara ini saling menghormati, bertoleransi dan hidup secara harmonis.

Untuk itu, jelasnya, pengembalian semula semangat prinsip Rukun Negara akan dijadikan resipi yang ampuh dalam menjayakan semula gelombang perpaduan berkenaan.

“Rukun Negara yang digubal pada tahun 1970-an berikutan peristiwa rusuhan kaum tahun 1969, telah menyedarkan negara betapa rapuhnya hubungan kaum pada ketika itu, ia diburukkan lagi oleh politik perkauman yang sarat dengan hasutan dan kebencian.

“Rukun Negara adalah penawar kepada segala usaha menyatupadukan rakyat. Lima Prinsip Rukun Negara itu merupakan kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum yang boleh mengatasi segala isu yang menjadi keresahan di antara kaum,” katanya pada sidang media GPPK di Kelab Diraja Selangor, Dataran Merdeka, di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohamed Arshad berkata, segala program yang bakal dilaksanakan oleh GPPK akan berpandukan kepada prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara dan Perlembagaan Malaysia.

“Malaysia sepatutnya telah menjadi sebuah negara contoh yang berjaya menyatupadukan rakyat berbilang kaum kepada satu bangsa yang dikenali sebagai bangsa Malaysia, tetapi amat malang sekali, kita masih bertelagah dan tidak dapat pastikan apakah identiti kita yang sebenarnya.

“Apabila kita keluar negara dan ditanya siapa kita, kita akan menjawab kita 'Malaysian', tapi mengapa kita enggan mengaku diri kita 'Malaysian' di negara sendiri,” tegasnya.

Mengorak langkah ke hadapan, katanya, GPPK akan memberi perhatian kepada anak muda daripada pelbagai kaum untuk dibentuk bagi menghayati semangat patriotisme dan perpaduan.

Menurut beliau, program-program khusus untuk menyemai sifat-sifat patriotisme dan perpaduan perlu dimulakan dari sekolah rendah sehinggalah ke peringkat universiti.

“Lihat saja bagaimana negara Jepun dan Korea dapat melahirkan rakyat yang utamakan kebersihan, hormat, beradab dan rajin, yang telah menjadikan kedua-dua negara tersebut negara maju yang boleh bersaing dengan negara barat. Tidakkah kita mahu mengikuti contoh kedua-dua negara ini dari segi pembangunan sumber manusia mereka?.

“Kami tidak boleh bersendirian dalam apa jua program yang melibatkan pembangunan rakyat. Kami perlu sokongan dan penyertaan daripada semua pihak

“Tekad kami mahu lahirkan rakyat yang sedar kewajipan dan tanggungjawab mereka kepada negara, selain berdisiplin tinggi dan mudah berinteraksi bersama rakyat jelata,” ujarnya.