Seludup diesel: Pemandu lori antara empat diberkas

Antara barangan dan peralatan yang dirampas dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan penyeludupan diesel bersubsidi menerusi serbuan di Jalan Sungai Rambai, Jenjarom pada Khamis lalu.
Antara barangan dan peralatan yang dirampas dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan penyeludupan diesel bersubsidi menerusi serbuan di Jalan Sungai Rambai, Jenjarom pada Khamis lalu.
A
A
A

KUALA LANGAT - Sebuah lori tangki dalam keadaan mencurigakan di hadapan kilang di Jalan Sungai Rambai, Jenjarom di sini membongkarkan kegiatan penyeludupan diesel bersubsidi pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, lori tersebut kemudiannya ditahan sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan Unit Rondaan Cegah Jenayah Balai Polis Sungai Jarom.

"Serbuan dijalankan kira-kira jam 3.40 petang itu mulanya mendapati lori tangki tersebut dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan dijalankan mendapati tangki lori berkenaan berisi minyak dianggarkan sebanyak 25,000 liter.

"Turut ditahan pemandu lori dan tiga pekerja premis yang mana kesemua mereka berumur antara 33 hingga 48 tahun," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya, turut dirampas 18 buah tangki minyak berisi 1,000 liter setiap tong, satu unit mesin meter penyukat minyak, sebuah lori dan sebuah lori.

"Pemeriksaan awal mendapati jumlah keseluruhan minyak diesel dirampas sebanyak 43,000 liter," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati kegiatan penyeludupan tersebut dijalankan hampir tiga bulan.

"Premis yang diserbu dipercayai menjadi stor penyimpanan diesel subsidi yang diseludup," katanya.

Ujar Ahmad Ridhwan, semakan mendapati dua daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.