Anggota polis parah ditikam dalam operasi dadah

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang anggota polis cedera parah selepas ditikam seorang lelaki yang ditahan dalam operasi membanteras dadah di Jalan Ungku Puan di bandar raya ini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian tersebut pada jam 3.20 pagi.

"Pihak polis menerima maklumat kejadian seorang anggota dari IPD Johor Bahru Selatan berusia dalam lingkungan 22 tahun telah mengalami kecederaan luka dalaman di bahagian rusuk sebelah kiri akibat ditikam dengan sebilah pisau.

"Mangsa ditikam seorang lelaki semasa menjalankan tugas Ops Tapis Khas di sekitar Johor Bahru.

"Kejadian berlaku pada jam 2.30 pagi semasa memeriksa tiga individu di kawasan tempat letak kereta berbayar di Jalan Ungku Puan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, anggota polis berpangkat konstabel itu kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk rawatan dan dimaklumkan kini berada dalam keadaan stabil.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa operasi itu yang disertai seorang pegawai dan lima anggota polis termasuk mangsa sedang membuat pemeriksaan terhadap tiga individu yang disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

"Semasa pegawai dan anggota polis sedang melakukan pemeriksaan terhadap dua individu, suspek tiba-tiba cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan sehingga mangsa ditikam suspek. Suspek berjaya melarikan diri.

"Pihak polis tidak sempat merekodkan sebarang maklumat suspek. Polis kini giat memburu lelaki warga tempatan berpakaian baju lengan panjang hitam, berselipar, memakai 'snowcap' hitam dan memakai pelitup muka warna hitam," katanya.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.

Tambah beliau, kes juga disiasat bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung terus menerusi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323 atau pegawai penyiasat kes Inspektor Noor Azlinda Mohd Khalid 017-2765250," ujar beliau.