Homestay jadi stor simpan dadah RM5.8 juta

Kamarudin (tiga dari kiri) menunjukkan hasil rampasan dadah pada sidang akhbar di IPK Selangor, Shah Alam pada Isnin.
Kamarudin (tiga dari kiri) menunjukkan hasil rampasan dadah pada sidang akhbar di IPK Selangor, Shah Alam pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Taktik dua lelaki menyewa sebuah inap desa sebagai stor penyimpanan dadah terbongkar apabila mereka ditahan pihak berkuasa serta merampas dadah jenis syabu dan pil yaba seberat 174.2 kilogram bernilai RM5.8 juta, di sini pada Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya telah menahan dua lelaki berusia 38 dan 47 tahun yang disyaki terlibat dengan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang pada jam 3.40 petang.

"Modus operandi yang digunakan sindiket adalah menjadikan premis berkenaan sebagai tempat menyimpan dadah, sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Isnin.

Dalam kes berasingan, Mohd Kamarudin berkata, pihaknya memberkas seorang lelaki berusia 44 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Sepang, pada jam 6 petang, Rabu lalu.

"Kita telah merampas dadah syabu dan ketamin seberat 47.8 kilogram bernilai RM1.6 juta," katanya.

Menurutnya, jumlah keseluruhan rampasan dadah dalam kedua-dua serbuan adalah RM7.4 juta.

"Kedua-dua sindiket itu dipercayai aktif sejak awal tahun ini, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 1,107,406 penagih dadah," katanya.

Beliau berkata, tindakan juga diambil bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

"Kita turut menyita kenderaan jenis Kia dan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, barang kemas, dua bentuk cincin dan seutas jam tangan bernilai RM87,705," katanya.

Mohd Kamarudin berkata, semakan rekod mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod lampau.

"Saringan awal mendapati dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Kesemua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.