31 lagi projek perumahan swasta sakit dipulihkan

Akmal (tengah) pada sidang akhbar di KPKT pada Isnin. Turut sama Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti), Sulaiman Ali dan Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Datuk K Jayaselan.
Akmal (tengah) pada sidang akhbar di KPKT pada Isnin. Turut sama Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti), Sulaiman Ali dan Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Datuk K Jayaselan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Lagi 31 projek perumahan swasta sakit membabitkan 3,299 unit kediaman bernilai RM1.66 bilion telah berjaya dipulihkan sepanjang Mei lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, daripada jumlah itu 28 projek telah mendapat Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) serta bakinya kembali lancar mengikut kemajuan yang dirancang.

Beliau berkata, Pasukan Khas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai telah menunjukkan peningkatan pencapaian dari segi menambah baik pelaporan status projek dengan mengambil kira nilai pembangunan kasar (GVD).

'"Jumlah keseluruhan projek perumahan swasta sakit yang telah berjaya dipulihkan adalah 149 melibatkan 17,436 unit rumah yang bernilai RM15.2 bilion iaitu 22.3 peratus daripada RM68.1 bilion," katanya.

Akmal yang juga pengerusi berkata, pasukan itu turut mengenal pasti 124 projek lewat, 471 projek sakit serta 112 projek terbengkalai sehingga Mei lalu.

"Nilai bagi projek lewat adalah RM17.6 bilion, projek sakit (RM50.5 bilion) dan terbengkalai (RM13.05 bilion)," ujar beliau.

Mengambil kira (GDV) bagi projek lewat, sakit dan terbengkalai, katanya, pasukan khas akan mengadakan pertemuan bersama Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) untuk perbincangan yang lebih berfokus.

Di samping itu ujarnya, pasukan khas akan terus memperkemaskan kaedah mengenal pasti status projek perumahan swasta lewat dan sakit supaya kaedah penyelesaian diambil.

“Kerjasama erat bersama agensi teknikal merupakan usaha yang proaktif dan memberikan output yang positif," katanya sambil menambah akan mempergiatkan libat urus dengan agensi teknikal yang lain seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) dan agensi-agensi teknikal mengikut keutamaan.