Keputusan kekal OPR tidak dipengaruhi mana-mana pihak

Fahmi ketika ditemui selepas program Kita Madani Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Terbuka Kampung Seri Batu 8, di sini pada Khamis.
Fahmi ketika ditemui selepas program Kita Madani Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Terbuka Kampung Seri Batu 8, di sini pada Khamis.
A
A
A

SEREMBAN - Keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus dibuat secara bebas tanpa tekanan daripada mana-mana pihak.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, beliau percaya ia diputuskan berdasarkan kepada pertumbuhan ekonomi negara yang baik.

"Selain itu kadar inflasi yang rendah dan jumlah guna tenaga kerja dalam pasaran yang hampir penuh.

"Malah negara juga dalam keadaan berdaya saing yang tinggi kedua terbaik selepas Singapura di rantau Asia Tenggara. Mungkin ini antara faktor yang BNM untuk kekalkan OPR pada waktu ini," katanya ketika ditemui selepas program Kita Madani Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Terbuka Kampung Seri Batu 8, di sini pada Khamis.

Selain itu beliau berkata, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia (AIBIM) diminta untuk lebih proaktif menyampaikan maklumat berkaitan OPR

Menteri Komunikasi dan Digital itu berkata, sesi libat urus dengan orang ramai perlu diadakan selain membantu rakyat menangani kos sara hidup akibat peningkatan OPR bermula Mei tahun lalu.

"Saya telah minta disampaikan kepada ABM dan AIBIM untuk mereka lebih memberi penjelasan sekiranya ada rakyat menghadapi masalah akibat peningkatan OPR.

"Sebenarnya boleh berhubung dengan bank untuk berbincang kerana kita baharu keluar dari pandemik Covid-19 dan kita percaya pihak bank faham memang ramai terkesan dari segi ekonomi," katanya

Untuk rekod, pengumuman kadar OPR pada 3 peratus yang diumumkan BNM lalu merupakan kenaikan kali kelima sejak Mei 2022.

Pada Mei tahun lalu, kadar OPR naik 2.0 peratus, diikuti Julai 2.25 peratus, September naik kepada 2.50 peratus dan November kepada 2.75 peratus.