Kembalikan roh Rukun Negara

Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Patriot, dan Majlis Belia Malaysia (MBM)
mengadakan pertemuan Rasuah Busters bagi memperkasakan kempen pemahaman rakyat tentang rukun negara.
Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Patriot, dan Majlis Belia Malaysia (MBM) mengadakan pertemuan Rasuah Busters bagi memperkasakan kempen pemahaman rakyat tentang rukun negara.
A
A
A

SHAH ALAM - Semangat perpaduan yang semakin rapuh dalam kalangan rakyat di negara ini perlu diperbaiki dengan mengembalikan semula semangat Rukun Negara dalam jati diri setiap rakyat Malaysia.

Timbalan Presiden Patriot, Datuk Zulkifli Mohamed berkata, susulan itu pihaknya akan mengambil beberapa inisiatif bagi meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat bertunjangkan semangat berkenaan.

Zulkifli Mohamed.
Zulkifli Mohamed.

Tegasnya, prinsip Rukun Negara perlu dikembalikan rohnya ke dalam jiwa rakyat kerana ia merupakan resipi ampuh dalam meningkatkan perpaduan sesama kita.

"Kita telah tubuhkan Gabungan Patriotisme dan Perpaduan Kebangsaan (GPPK), GPPK ini adalah satu sahaja tujuan kami iaitu tentang perpaduan.

"Kerana semangat perpaduan ketika ini amat menyedihkan, bagi saya patriotisme ini perlu ada dalam jiwa setiap rakyat Malaysia, kemerosotan semangat cintakan negara ini telah meleset lama, jadi kami akan laungkan semangat perpaduan ini berteraskan Rukun Negara," katanya kepada Rasuah Busters pada Rabu.

Terdahulu beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pasukan Rasuah Busters Datuk Hussamuddin Yaacub di Kumpulan Karangkraf.

Turut hadir Presiden Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Stanley Yong Yew Wei; Bendahari GBM Jusni Yusoff; Exco GBM, SP Nathan; Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid; Rakan Komiti Patriot JD Lovrencier dan Kung Boon Chin.

Stanley Yong Yew Wei.
Stanley Yong Yew Wei.

Sementara itu, Presiden Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Stanley Yong Yew Wei berkata, pengabaian terhadap Rukun Negara telah menyebabkan nilai perpaduan di negara ini semakin pudar.

Jelasnya, ditambah dengan rencam politik di negara ini telah menambah luka terhadap perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Sekarang ini masyarakat kita telah dipolarisasikan, jadi semua kaum tidak banyak yang boleh bekerjasama kerana puncanya politik di negara ini yang menyebabkan ia berlaku.

"Kita kena perkasakan kembali Rukun Negara, dan saya yakin perpaduan sesama kita akan dapat dipertingkatkan," katanya.

Rukun Negara adalah sebuah ideologi yang telah menjadi teras panduan dan gagasan kebangsaan Malaysia.

Ianya telah dibentuk pada 31 Ogos 1970 oleh Majlis Gerakan Negara iaitu setahun selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969 yang telah menghancurkan perpaduan dan ketenteraman di dalam negara.

Rukun Negara menggariskan prinsip yang berikut:-

• Kepercayaan Kepada Tuhan

• Kesetiaan Kepada Raja dan Negara

• Keluhuran Perlembagaan

• Kedaulatan Undang-undang

• Kesopanan dan Kesusilaan