PRN: BN, PH optimis rampas Kedah dan Terengganu - Mohamad Hasan

Mohamad Hasan - Foto Bernama
Mohamad Hasan - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan optimis gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) mampu merampas Terengganu serta Kedah daripada pembangkang.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, bagaimanapun, hasrat berkenaan perlu diikuti dengan satu gerak kerja yang betul dan strategi yang baik bagi merealisasikan kemenangan.

"Sebagai 'bukan pilihan' dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini, kita akan buat kerja sebaik mungkin dan saya harap jentera akan terus pertingkatkan gerak kerja masing-masing.

"Peluang untuk menang di Kedah dan Terengganu itu ada tetapi di Kelantan, kita rasa boleh menambah kerusi jika bersungguh-sungguh untuk menang di kawasan masing-masing,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Dermasiswa dan sumbangan komputer riba Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera di Wisma Pertahanan pada Selasa.

Beliau turut memberi bayangan akan mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada PRN Negeri Sembilan.

Mohamad juga berkata, BN tidak meletakkan sebarang nisbah bagi muka baharu atau lama sebaliknya mementingkan calon boleh menang.

Beliau berkata, ketika ini, BN menunggu senarai muktamad calon dari enam negeri yang terlibat dengan PRN sebelum melakukan saringan.

Pada Sabtu lepas, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, gabungan itu dijangka bertanding sebanyak 45 peratus daripada 245 kerusi DUN di enam negeri pada PRN akan datang manakala bakinya ditandingi oleh PH.

Dalam perkembangan lain, Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata, laporan penuh mengenai insiden letupan bom lempar ketika sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan pada 25 Jun lepas akan dikeluarkan setelah siasatan terperinci dilakukan oleh jawatankuasa dalaman yang diwujud untuk menyiasat kejadian itu.

"Pihak polis dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedang menyiasat kejadian itu, jadi adalah lebih baik kita tunggu laporan jawatankuasa siasatan dalaman kedua-duanya,” katanya

Insiden pada jam 12.10 tengah hari itu menyaksikan seorang penuntut Institut Pentadbiran dan Pengajian Pangkalan Udara Sendayan maut di tempat kejadian manakala seorang lagi iaitu jurulatih meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Segamat.

Kejadian itu turut menyebabkan seorang lagi jurulatih cedera dan masih menerima rawatan. - Bernama