Elak budaya terima rasuah semasa mengundi

Janji manis dan bayaran wang daripada parti-parti politik boleh menrencatkan pemikiran anak muda yang baharu sahaja layak mengundi. - Gambar hiasan 123RF (Gambar kecil: Osman)
Janji manis dan bayaran wang daripada parti-parti politik boleh menrencatkan pemikiran anak muda yang baharu sahaja layak mengundi. - Gambar hiasan 123RF (Gambar kecil: Osman)
A
A
A

SHAH ALAM - Anak muda lepasan sekolah menengah perlu berfikir ke depan dalam memilih pemimpin dan elakkan budaya menerima rasuah daripada calon parti politik semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Timbalan Pengerusi Rasuah Busters Pulau Pinang, Datuk Osman Hussain berpandangan, mereka perlu berfikir secara analitik dan logik berlandaskan ilmu, kesedaran serta kematangan dalam memilih parti bukannya berdasarkan wang atau keseronokan semata-mata.

“Anak muda yang sudah boleh mengundi mudah dipengaruhi kerana kurang pengalaman dan kematangan.

“Golongan ini senang dipergunakan mana-mana parti politik, jadi perlu dilatih untuk berfikir secara ke depan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, anak muda perlu berpandangan jauh dan waras dalam memilih pemimpin untuk kepentingan diri, masyarakat serta masa depan negara.

Tambah beliau, janji manis dan bayaran wang daripada parti-parti politik boleh merencatkan pemikiran mereka yang baru sahaja layak mengundi.

“Jika Rasuah Busters dibenarkan dalam aktiviti kokurikulum sekolah, mungkin ada masa untuk terangkan mengenai jenayah ini pada peringkat awal," katanya.

Osman menegaskan, usaha mendidik golongan muda tidak boleh terhenti di situ sahaja.

“Sekurang-kurangnya cukup untuk mereka menjadi golongan yang benci rasuah dan tidak mudah terpengaruh dengan permainan politik," ujar beliau.