‘Semakan kehakiman bukan cabar kerajaan’ - MCTC

Dari kiri: Dr Murallithan, Muhammad Sha'ani, Sharmila Sekaran dan Roslizawati Md Ali.
Dari kiri: Dr Murallithan, Muhammad Sha'ani, Sharmila Sekaran dan Roslizawati Md Ali.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semakan kehakiman mengecualikan nikotin daripada Akta Racun 1952 bukan berhasrat mencabar kerajaan, sebaliknya bagi menyelamatkan kanak-kanak dan remaja daripada masalah ketagihan vape serta rokok elektronik.

Sekretariat Majlis Kawalan Tembakau Malaysian (MCTC), Muhammad Sha'ani berkata, pengecualian nikotin daripada Akta Racun 1952 memberi akses penuh kepada kanak-kanak dan remaja bawah umur untuk membeli produk tersebut tanpa dikawal oleh mana-mana pihak.

“Pada tahun 2016 kerajaan hanya mengawal selia produk nikotin, namun akses untuk mendapatkan produk tersebut sangat mudah dan sukar dikawal kerana tiada undang-undang pengendalian peranti vape atau rokok elektronik menyebabkan ia bebas dijual.

“Sebarang penjualan peranti rokok menimbulkan ancaman kesihatan kepada pengguna dan keputusan kerajaan untuk memperkenalkan Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Rokok 2022, tetapi masih terdapat gangguan daripada beberapa pihak berkepentingan,” katanya pada sidang media MCTC pada Selasa.

Dalam pada itu, Pengerusi MCTC, Dr Murallithan berkata, mereka tidak mencabar sebarang cadangan kerajaan, sebaliknya meminta semakan kehakiman dibuat bagi mendidik kanak-kanak dan remaja tentang masalah ketagihan nikotin yang boleh membawa maut.

Ujarnya, perbincangan dan cadangan bersama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini telah diterima, namun perkara tersebut tidak digunakan oleh pembuat polisi seperti diharapkan.

“Setakat ini kita mempunyai dua kematian yang juga bersangkut paut dengan penggunaan nikotin dalam kalangan orang muda dan kanak-kanak. Saya khuatir sekiranya trend masih berterusan akan mengakibatkan lebih banyak kematian.

“Kami merayu kepada pihak KKM dan agensi kerajaan agar melihat semula perkara ini demi kebaikan rakyat,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Voice of Children (VOC), Sharmila Sekaran berkata, kanak-kanak yang terdedah dengan tabiat ketagihan nikotin bukan sahaja menyebabkan kematian, tetapi akan memberi kesan kepada pertumbuhan negara.

“Ibu bapa perlu lebih peka terhadap aktiviti anak-anak dan pembuat polisi perlu memikirkan kesan jangka panjang sekiranya nikotin ini digunakan secara bebas,” ujarnya.

Bagi Timbalan Presiden MCTC, Roslizawati Md Ali berkata, sekiranya pengecualian itu dibuat, ia akan memberi kesan terhadap Generasi Penamat Merokok (GEG).

“Peningkatan penggunaan vape sejak dua tahun lalu memberi kesan kepada golongan muda dan sekiranya pengecualian ini dibuat akan memberi kesan terhadap GEG,” katanya.