Pegawai kastam maut kemalangan

Pengebumian dengan istiadat disempurnakan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu, Kluang, pada Ahad.
Pengebumian dengan istiadat disempurnakan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu, Kluang, pada Ahad.
A
A
A

KULAI - Seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan dua kereta di Kilometer 18.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini pada Sabtu.

Kejadian pada jam 11.40 pagi itu mengorbankan Mohd Saiful Adli Ibrahim, 35, anak bongsu daripada empat beradik yang masih belum berkahwin.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitenden Tan Seng Lee berkata, kemalangan tersebut melibatkan motosikal Yamaha ditunggang mangsa dengan kereta jenis Honda Civic dan Toyota.

"Siasatan awal pihak polis mendapati kemalangan berlaku apabila Honda Civic yang dipandu seorang lelaki berusia 57 tahun datang dari arah Johor Bahru menghala ke utara telah berhenti disebabkan keadaan jalan yang sesak.

"Kemudian datang Toyota yang dipandu seorang wanita berusia 24 tahun datang dari belakang memperlahankan kenderaan dan bersedia untuk berhenti. Motosikal mangsa dari arah sama tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kiri Toyota," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pengebumian dengan istiadat disempurnakan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu, Kluang, pada Ahad.
Pengebumian dengan istiadat disempurnakan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu, Kluang, pada Ahad.

Beliau berkata, akibat pelanggaran tersebut mangsa tercampak ke kiri jalan manakala motosikalnya tercampak atas bumbung Honda Civic.

Katanya, mangsa cedera parah di bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini untuk bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Polis Kulai meminta mana-mana saksi yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan ini untuk tampil memberikan maklumat di Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohd Fatin Mohd Radzi 018-3649199," katanya.

Jenazah selamat di kebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu, Kluang pada jam 9 pagi Ahad yang turut dihadiri Pengarah JKDM Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi dan Pengurus Kanan Tugas-tugas Khas Karangkraf, Hashim Anang.

Sementara itu, JKDM Johor dalam Facebook rasmi miliknya memaklumkan, Aminul Izmeer dan semua warga JKDM Johor menzahirkan takziah kepada keluarga arwah Mohd Saiful dan berharap mereka terus tabah dengan kehilangan serta dugaan yang sedang dihadapi.

"Jasa dan bakti Allahyarham dalam JKDM akan sentiasa dikenang. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat olehNYA dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman," menurut jabatan tersebut.

Dalam pada itu, bapa mangsa, Ibrahim Omar, 64, berkata, kali terakhir dia bertemu arwah adalah ketika pulang bercuti di rumahnya di Taman Setiwangsa, Kluang selama lima hari sempena Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

"Arwah menyifatkan sambutan Aidilfitri kali ini tawar dan hambar selain dia juga tidak banyak berbual. Mungkin disebabkan masih terkesan dengan pemergian ibunya dua tahun lalu," ujarnya yang merupakan pesara guru.

Kata Ibrahim, anaknya sudah berkhidmat dengan JKDM selama kira-kira lapan tahun dengan kali terakhir bertugas di Johor Bahru.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!