Anak-anak mula terima kenyataan ibu sudah tiada - Suami Nurfarahimi

Noraini (dua dari kiri) beramah mesra dengan dengan anak-anak Pegawai Waran II Allahyarhamah Nurfarahimi iaitu Muhamad Alif Farhan (kanan) Nur Alwani Fatihah, (dua dari kanan) dan Nur Alwani Farihah, (tiga dari kanan) ketika menziarahi waris mangsa nahas udara di Pangkalan TLDM) hari ini. - Foto: Bernama
Noraini (dua dari kiri) beramah mesra dengan dengan anak-anak Pegawai Waran II Allahyarhamah Nurfarahimi iaitu Muhamad Alif Farhan (kanan) Nur Alwani Fatihah, (dua dari kanan) dan Nur Alwani Farihah, (tiga dari kanan) ketika menziarahi waris mangsa nahas udara di Pangkalan TLDM) hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

LUMUT - Tiga anak Allahyarham Pegawai Waran II, Nurfarahimi Mohd Saedy sudah mula memahami dan menerima kejadian yang menimpa ibu mereka.

Suami Allahyarham, Pegawai Waran I Muhammad Faizul Kameh, 42, berkata, dia percaya ketiga-tiga anaknya iaitu Muhamad Alif Farhan, 16, Nur Alwani Fatihah, 12, dan Nur Alwani, 9, cukup kuat untuk menerima ketentuan Ilahi meskipun masih bersedih.

"Anak sulung saya sampai langsung tak bercakap dengan ahli keluarga lain sehinggalah majlis pengebumian selesai. Namun sebagai ayah, saya menasihati mereka untuk menerima apa yang telah ditentukan Allah SWT.

"Alhamdulillah, ketiga-tiga anak saya beransur-ansur pulih,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini.

Muhammad Faizul yang bertugas di Kuantan, Pahang sejak enam bulan lepas berkata, dia akan menguruskan proses perpindahan ke Lumut bagi memudahkan urusan menjaga ketiga-tiga anaknya.

"Selepas apa yang berlaku saya fikir untuk kembali ke Lumut kerana anak sulung bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan dan saya tak mahu dia hilang fokus,” katanya.

Dia turut menzahirkan penghargaan tidak terhingga kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan dan memberikan sokongan moral kepada keluarganya.

Sebelum itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menziarahi Muhammad Faizul sekeluarga selain keluarga mendiang Leftenan T Sivasutan dan waris Pegawai Waran II TMK, Mohd Shahrizan Mohd Termizi.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian 9.32 pagi pada 23 April lepas, 10 anggota dan pegawai TLDM maut selepas dua helikopter terhempas ketika sedang menjalani raptai lintas hormat bersempena dengan sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.

Dalam pada itu, ibu mendiang Sivasutan, A Parameswari, 60, berkata, keadaan keluarganya kini semakin baik dengan perhatian diberikan pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan kaunseling menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Pesara guru itu memberitahu Sivasutan yang mesra dipanggil Ayya amat rapat dengannya dan sering menceritakan tentang tugas serta keistimewaan pakaian seragam TLDM yang amat dibanggakan mendiang.

"Sejak kecil dia memang minat melihat orang berpakaian seragam...jadi saya menyokong minatnya dan memperkenalkannya dengan pelbagai kerjaya beruniform termasuklah tentera laut," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!