Presiden Palestin rakam terima kasih pada kepimpinan, rakyat Malaysia

Mahmoud Abbas. Foto Xinhua
Mahmoud Abbas. Foto Xinhua
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan dan rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu dizahirkan Abbas ketika mereka bertemu di Sidang Plenari Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Riyadh, Arab Saudi pada Ahad.

"Beliau minta sampaikan salam terima kasih rakyat Palestine kepada seluruh rakyat Malaysia,” menurut Mohamad dalam catatan di laman Facebooknya.

Beliau kini berada di Riyadh untuk mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadiri Mesyuarat Khas WEF.

Menerusi satu catatan berasingan, Mohamad turut berkongsi mengenai pertemuan beliau dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Pakistan, Mohammed Ishaq Dar di WEF.

"Dalam perbincangan, kedua-dua pihak telah mencapai kata sepakat agar Malaysia dan Pakistan mengukuhkan lagi hubungan dua hala melalui kerjasama sedia ada dan meneroka bidang kerjasama lain yang berpotensi.

"Saya juga sempat mengucapkan tahniah kepada Ishaq Dar atas pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri Pakistan berkuat kuasa semalam,” kata Mohamad.

Sementara itu, Kementerian Luar Pakistan dalam hantaran di platform X berkata, pemimpin negara itu telah mengkaji semula hubungan dua hala dan bersetuju untuk menggalakkan pertukaran peringkat tinggi antara Pakistan dan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Menurut hantaran itu, Pakistan dan Malaysia juga bersetuju untuk memperluas kerjasama dalam perdagangan dan ekonomi, budaya serta pertukaran rakyat dengan rakyat semasa mesyuarat itu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!