80 peratus daripada RM100 juta diagih kepada mangsa banjir di Kelantan

Nik Nazmi
Nik Nazmi
A
A
A

TUMPAT - Sebanyak 80 peratus daripada jumlah peruntukan bernilai RM100 juta telah diagihkan kepada ketua isi rumah (KIR) yang terlibat banjir di Kelantan menerusi Program Agihan Bantuan Wang Ihsan (BWI).

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, peruntukan itu membabitkan sebanyak 73,328 KIR dari 10 jajahan di negeri ini yang telah terkesan dengan kejadian banjir Monsun Timur Laut (MTL) 2022/2023.

"Proses agihan peruntukan berkenaan dilakukan secara fizikal selain ia juga diagihkan menggunakan kaedah Electronic Transfer (EFT) melalui bank kepada mereka yang disahkan layak oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

"Sehingga kini, seramai 61,864 KIR telah menerima agihan BWI ini iaitu kira-kira 80 peratus daripada jumlah peruntukan keseluruhan dan selebihnya ia akan diagihkan dari semasa ke semasa. Setakat ini, hanya 11,464 KIR yang masih belum menerima BWI,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama dan RTM pada Program Agihan BWI Mangsa Banjir MTL 2022/2023 bagi jajahan Tumpat di Dewan Mak Jah, Pasir Pekan, di sini hari ini, yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Pada majlis itu, Nik Nazmi turut menyampaikan wang agihan BWI kepada 64 KIR bagi jajahan Tumpat yang terkesan dalam kejadian banjir MTL 2022/2023.

Sementara itu, Ahmad berkata, kerajaan Kelantan menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan atas peruntukan yang telah disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir di negeri ini.

"Saya berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas peruntukan yang diberikan walaupun kejadian banjir ini telah berlalu, namun sumbangan masih diteruskan. Diharap, dengan adanya sumbangan ini ia dapat meringankan beban mereka yang terkesan,” katanya.

Seorang penerima, Kariah Bakar, 54, yang juga seorang ibu tunggal dari Kampung Pulau Raja berkata, wang bantuan itu sekali gus menunjukkan keprihatinan kerajaan Persekutuan dalam membela nasib rakyat.

"Peruntukan wang bernilai RM1,000 ini dapat meringankan beban saya untuk menampung keperluan anak-anak terutamanya yang masih bersekolah,” kata ibu kepada lapan anak itu.

Mengimbas kejadian banjir pada tahun lepas, Kariah berkata, beliau sekeluarga terpaksa berpindah ke rumah saudara selama kira-kira seminggu selepas rumah miliknya digenangi dengan air banjir kira-kira hampir satu meter.

"Alhamdulillah walaupun terkesan dengan banjir sehingga terpaksa berpindah ke rumah saudara, tiada sebarang kerosakan yang dialami selain barang-barang keperluan termasuk dokumen penting juga telah disimpan lebih awal,” katanya. - Bernama