RM3.43 juta bina prasarana sekolah di KL Selangor

Azmin Ali - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah RM3.43 juta peruntukan diberikan kepada 10 buah sekolah bagi pembinaan prasarana di sekolah sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam satu kenyataan berkata, bantuan yang diberikan menerusi Peruntukan Projek Khas bakal memberi kemudahan yang lebih selesa dan memenuhi keperluan para pelajar serta guru.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyampaikan kelulusan pembinaan prasarana tersebut bersama sumbangan kemasyarakatan.

“Kelulusan projek-projek ini adalah berdasarkan permohonan sumbangan daripada pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah yang terlibat.

“Antaranya pembinaan dewan terbuka dan pagar sekolah, menaik taraf dan membaik pulih surau, bangunan serta kemudahan asas sekolah,” jelas kenyataan tersebut

Menurut kenyataan itu, semakan dan penilaian di tapak telah dijalankan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan laporan dikemukakan kepada pihak kementerian.

Projek itu kemudiannya diluluskan memandangkan terdapat keperluan mendesak untuk dilaksanakan di sekolah terbabit.

Antara sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, Gombak dan SMK Hulu Kelang di Selangor serta SMK Bukit Indah, Ampang, Kuala Lumpur. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia