Twitter bataskan jumlah bacaan dalam sehari kepada pemilik akaun

Elon Musk
Elon Musk
A
A
A

PENGGUNA Twitter kini memperoleh akses terbatas sementara untuk membaca kandungan dalam akaun media sosial itu dalam sehari, umum pemiliknya, Elon Musk.

Musk pada Sabtu menegaskan, batasan sementara terhadap jumlah kicauan yang pengguna dapat baca dalam sehari terikat pada 600 kandungan bagi pemilik akaun yang belum memperoleh pengesahan status atau verified account (VA).

Sementara, bagi pemilik akaun baharu dan belum menerima VA pula terikat pada 300 kandungan sahaja. Namun begitu, pemilik akaun berstatus VA pula berpeluang membaca 6,000 kandungan dalam sehari.

Menurut Musk, pengenalan batasan sementara itu dibuat bagi mengatasi isu “peningkatan secara ekstrem pemindahan data dan manipulasi sistem.”

Musk, bagaimanapun, tidak pula menjelaskan maksud di sebalik manipulasi sistem dalam konteks ini. Pemindahan data secara relatifnya merujuk kepada proses maklumat yang diambil dari sesebuah laman web dipindahkan ke program lain.

“Data kami dirompak sehingga menjejaskan perkhidmatan kami,” kata Musk.Langkah terbaharu yang diambil oleh Twitter itu, tegas Musk, digambarkan beliau sebagai "tindakan darurat sementara."

Selepas mengumumkan akses terbatas sementara pada hari Sabtu, Musk kemudiannya mengumumkan, jumlah bacaan kandungan dalam sehari akan ditingkatkan kepada 800 kicauan bagi pemilik akaun yang belum memperoleh VA, 400 untuk pemilik akaun baharu yang belum mendapat VA dan 8,000 kandungan untuk akun yang sudah memperoleh VA.

Dilabel dengan tanda biru (blue-tick), status akaun VA pada awal pengenalannya diberikan secara percuma kepada pemiliknya sebelum Musk mengambil alih pemilikan syarikat pengendali akaun media sosial itu.

Namun kini, sebahagian besar daripada pengguna harus membayar membiayai langganan yang bermula dengan AS$8 (RM37) setiap bulan hanya untuk mendapat VA dan berpeluang memperoleh status itu tanpa perlu profil mereka diperhatikan.

Pada Oktober tahun lalu, Musk yang tersenarai sebagai individu terkaya di dunia membeli Twitter pada harga AS$44 bilion (RM191.73 bilion).

Setelah mengambil alih Twitter, pemilik syarikat kenderaan elektrik Tesla itu mengurangkan jumlah kakitangan syarikat itu daripada 8,000 kepada sekitar 1,500 orang sahaja. - Agensi