'Geng penyakau' besar gerun dengan kemaraan PM banteras rasuah

Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Aidi Amin
Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Aidi Amin
A
A
A

SHAH ALAM – Kumpulan 'geng penyakau' besar kini terdesak sehingga terpaksa mengugut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tegas membanteras rasuah.

Pengerusi Pertubuhan Jaringan Insan Madani, Aidi Amin Yazid berkata, pihak terbabit kini terpaksa 'mengugut' untuk menghalang kemaraan Perdana Menteri kerana takut dikenakan tindakan.

“Dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan, rakyat dapat menilai langkah-langkah yang diambil PM bagi mengatasi ketirisan wang dan menghapuskan amalan korup dalam pentadbiran.

“Tidak perlu hendak ugut kerana rakyat dah tahu bagaimana kerajaan yang wujud hari ini mampu melakar masa depan negara dengan adanya seorang pemimpin yang mempunyai visi dan matlamat berpandukan egalitarianisme iaitu semua manusia pada dasarnya sama dari segi taraf nilai atau moral secara asasnya.

“Sungguhpun masih ada jurang ketidaksefahaman politik, namun kewujudan sebuah negara berdaulat memberikan jaminan kesejahteraan kepada semua tanpa mengira kaum, agama dan bangsa,” katanya kepada Sinar Ahad.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai dakwaan Perdana Menteri yang mendedahkan menerima ugutan daripada 'geng penyakau' besar selepas kerajaan pentadbirannya bertekad menghapuskan rasuah dan menyelamatkan negara daripada tindakan individu yang merompak kekayaan negara.

Aidi Amin berkata, prinsip Malaysia Madani yang diketengahkan Perdana Menteri adalah hasil karangan daripada pengalaman selama lebih empat dekad dalam bidang perkhidmatan awam, mengepalai beberapa kementerian dalam kerajaan, menerajui beberapa badan antarabangsa serta menjadi pendidik di beberapa universiti berprestij dunia.

“Ahli politik juga disaran untuk bermuhasabah diri sebelum mempertaruhkan nasib dan masa depan negara tanpa melihat konteks apa yang diperjuangkan secara menyeluruh. Janganlah kita gopoh sehingga lupa bagaimana sebuah tamadun itu terbentuk.

“Reformasi tidak boleh berlaku sekelip mata tetapi keazaman dalam setiap insan untuk bersifat ihsan sebagai sebuah masyarakat Malaysia Madani mampu melakar semula kisah negara kita, “ jelasnya.

Tambahnya lagi, usaha mengembalikan negara ke landasan yang benar dari segi ketelusan tadbir urus dan pemantapan ekonomi memerlukan iltizam daripada seorang pemimpin.

“Bukan mudah untuk melakukan satu perubahan tanpa sokongan, tapi mudah untuk menghancurkan kerana sakit hati kerana ruang korupsi sudah ditutup," ujarnya.