Kelantan, Sarawak buntu jaringan

Pemain Kelantan, Mohamad Hakimi (depan) menghalang pemain Sarawak pada pertemuan Liga Premier di Kota Bharu, sebentar tadi.
Pemain Kelantan, Mohamad Hakimi (depan) menghalang pemain Sarawak pada pertemuan Liga Premier di Kota Bharu, sebentar tadi.
A
A
A

KOTA BHARU - Kelantan sekadar terikat 0-0 dengan Sarawak pada pertemuan dua pasukan terbawah Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, sebentar tadi.

Keputusan seri itu tidak mengubah kedudukan kedua-dua pasukan yang kekal di zon penyingkiran selepas mengharungi 11 perlawanan.

Kedua-duanya dilihat mempamerkan corak permainan membosankan sepanjang 45 minit pertama dengan bola lebih banyak berlegar di kawasan tengah padang.

Peluang pertama tuan rumah hadir pada minit keenam namun percubaan pemain import Flavio Beck Junior daripada luar kotak penalti sekadar menuju ke dakapan penjaga gol lawan.

Minit ke-24 menyaksikan Kelantan memperoleh sepakan penjuru yang diambil Beck Junior tetapi tandukan Mohd Khairulrizam Che Soh gagal menewaskan Shaiful Wazizinl Mohamad sekali gus terselamat gawang pelawat daripada dibolosi.

Sarawak yang mempertaruhkan penyerang veteran, Bobby Gonzales dilihat sekali-sekala menyerang tetapi gerakan mereka begitu mudah dipatahkan benteng pertahanan tuan rumah.

Aksi selepas itu lebih banyak didominasi The Red Warriors namun anak buah Yusri Che Lah tampak kering idea dan tiada kreativiti untuk menembusi kubu akhir skuad Bujang Senang.

Minit-minit akhir babak pertama tuan rumah seharusnya berada di depan tetapi rembatan menarik Mohamad Hakimi Abdullah sekadar menggegar palang untuk kedua-dua terikat seri tanpa jaringan menuju ke bilik persalinan.

Artikel Berkaitan:

Bersambung babak berikutnya, Sarawak menampilkan corak agresif dan nyaris mengejutkan tuan rumah tetapi percubaan Bobby pula terkena tiang ketika penjaga gol, Abdul Arif Abdullah sudah tertewas pada minit ke-59.

Menyedari asakan bertali arus pelawat, Kelantan pantas membuat dua pertukaran dengan memasukkan Mohd Amirul Shafik Che Soh dan Nik Azli Nik Alias, pada minit ke-62 dan 63.

Ternyata kemasukan dua tenaga baharu itu mengubah rentak permainan Kelantan dan Mohd Amirul Shafik tidak menunggu lama untuk membuktikan sentuhannya apabila melepaskan rembatan yang sedikit tersasar, seminit kemudian.

Namun pada minit ke-65, pintu gol tuan rumah pula kembali cemas apabila Bobby bijak memperdayakan dua pertahanan tetapi rembatannya hanya sedikit sipi sekali gus mengecewakan kem Sarawak.

Menghampiri minit ke-87, pelawat melipat ganda asakan tetapi percubaan jarak jauh Hudson berjaya dikuis keluar Abdul Arif manakala rembatan Bobby turut tersasar, dua minit kemudian.

Minit-minit akhir, Beck Junior merencanakan gerakan berbahaya menerusi hantaran silang tetapi Nik Azli sekadar menyepak anginbuntuk menutup tirai tanpa sebarang jaringan, pada pertemuan sebentar tadi.