JDT naik taraf Stadium Sultan Ibrahim

Stadium Sultan Ibrahim. - Foto FB Johor Southern Tigers
Stadium Sultan Ibrahim. - Foto FB Johor Southern Tigers
A
A
A

KELAB Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak mahu berhenti menambah baik fasiliti di Stadium Sultan Ibrahim untuk memberikan pengalaman luar biasa kepada penyokong.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards berkata, kelab itu kini dalam perbincangan untuk memeterai perjanjian-perjanjian yang akan menaikkan lagi standard stadium tersebut.

"Kami kini sedang berbincang dengan syarikat arkitek terkemuka antarabangsa untuk meningkatkan dan menambah baik lagi Stadium Sultan Ibrahim ikonik yang telah diundi sebagai 'World Stadium of the Year' pada 2020," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers pada Jumaat.

Stadium Sultan Ibrahim boleh dikategorikan stadium terbaik dimiliki di negara ini dan menjadi lambang kemegahan skuad Harimau Selatan.

Stadium yang dilancarkan pada 22 Februari 2022 itu dibina dengan kos RM200 juta dan menjadi 'rumah' buat JDT menggantikan Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Kenyataan itu turut memberitahu, JDT telah mencapai persetujuan dengan syarikat minuman kopi terkenal, Starbucks untuk membuka cawangan di stadium itu.

"Ini akan meningkatkan lagi pilihan makanan dan minuman di Stadium Sultan Ibrahim setelah Woodfire Burger dan KFC dibuka.

"JDT juga dalam proses untuk menyediakan galeri muzium di stadium untuk memperagakan kejayaan yang dicapai sepanjang 10 tahun sejak ditubuhkan pada 2013," katanya.