Rakyat ukur prestasi PM perangi rasuah

No Image Caption
A
A
A

DALAM usaha memerangi gejala rasuah dan korupsi di negara ini, pasti tidak ada jalan mudah bagi seseorang itu memperjuangkan hasrat berkenaan.

Sebaliknya, usaha membawa Malaysia ke arah negara bebas rasuah serta korupsi itu sudah tentu dipenuhi dengan cabaran dan bantahan daripada pihak-pihak tertentu.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa beliau menerima ugutan daripada 'geng penyakau besar' selepas kerajaan pentadbirannya bertekad menghapuskan rasuah dan menyelamatkan negara daripada tindakan individu yang merompak kekayaan negara.

Anwar berkata, beliau tiada masalah dengan ugutan yang diterima malah bertekad untuk mempertahankan prinsip melawan rasuah dan salah guna kuasa.

Dalam pada itu, beliau mengakui dirinya mungkin ada kekurangan serta kelemahan dan bersedia ditegur, namun bukan dicerca dan fitnah.

Tegasnya, beliau terbuka untuk ditegur dan dikritik sekiranya terdapat kelemahan dalam pentadbiran kerajaannya, namun bukan difitnah tanpa fakta dan penilaian yang adil.

Selain itu, ditambah pula dengan pilihan raya negeri (PRN) yang akan tiba tidak lama lagi itu, sudah pasti pelbagai isu akan ditimbulkan baik dari pihak pembangkang mahupun kerajaan.

Sudah tentu, sentimen-sentimen yang akan dimainkan itu boleh menjadi faktor pemangkin kepada kemenangan parti dalam PRN di keenam-enam negeri itu nanti.

Bagaimanapun, pilihan raya demi pilihan raya, pemimpin silih berganti, namun keadaan negara masih dikekang dengan amalan rasuah serta korupsi termasuk dalam peringkat pimpinan kerajaan.

Anwar juga menyatakan kesediaan memberi kerjasama termasuk disiasat mana-mana pihak berkuasa sekiranya beliau didapati terlibat dalam kes rasuah.

Ulasnya, selama tujuh bulan diberikan amanah untuk mentadbir negara, tiada satu kepentingan pun diberikan kepada keluarganya.

Bagi memutuskan rantaian rasuah di negara ini, Anwar turut menegaskan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana menteri serta timbalan menteri dalam Kerajaan Perpaduan mahupun bekas menteri sekiranya mereka terlibat dalam kes rasuah.

Menurutnya, dalam perkara itu semua badan penguat kuasa seperti SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Bank Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diarahkan menjalankan tanggungjawab dengan tegas dan berani dalam kes rasuah.

Namun begitu, rakyat pastinya akan menilai tindakan dan perbuatan pemimpin kerana mereka sudah jemu dengan ‘cakap tak serupa bikin’ terutamanya menjelang tiba pilihan raya.

Prestasi pimpinan Anwar yang menegaskan untuk perangi rasuah dalam negara pastinya menjadi salah satu nilai kayu ukur daripada rakyat yang akan mengundi pada PRN akan datang.