Anak derita radang otak selepas alami tekanan perasaan serius

Azizon akan sentiasa memastikan Azreen Afiza selesa.
Azizon akan sentiasa memastikan Azreen Afiza selesa.
A
A
A

KOTA BHARU - Hari Raya Aidiladha tahun ini tidak bermakna buat pasangan suami isteri, Azizon Ab Hamid, 46, dan Azahari Mahmood, 51, selepas anak kedua mereka terlantar dalam keadaan separuh koma sejak dua bulan lalu.

Pasangan itu bagaimanapun reda dengan ketentuan ALLAH SWT apabila Azreen Afiza, 23, mengalami radang otak akibat tekanan perasaan yang serius.

Azizon berkata, anak kedua daripada lima beradik itu pada mulanya mengalami kemurungan ketika menjalani latihan praktikal.

Menurutnya, keadaan berkenaan berpanjangan dan dalam tempoh dua minggu, Azreen Afiza tidak mahu makan, minum dan tidak boleh tidur.

"Melihat perubahan itu, saya membawanya ke Hospital Raja Perempuan Zainab II tetapi keadaannya semakin teruk sebelum mengalami sawan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Panji.

Jelas Azizon, anaknya kemudian dirawat di Unit Rawatan Rapi dan doktor mengesahkan berlaku jangkitan kuman pada otak selepas prosedur Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dilakukan.

Dalam tempoh rawatan, kata Azizon, doktor memaklumkan degupan jantung anaknya pernah berhenti kira-kira lima minit tetapi syukur keadaan itu tidak berpanjangan.

Tambahnya, kira-kira dua minggu sebelum Aidiladha, mereka membawa Azreen Afiza pulang ke rumah dalam keadaan separuh koma dan sehingga kini tiada perubahan berlaku.

"Kami tidak kisah dengan ujian ALLAH SWT seperti kembali menjaga anak kecil kerana perlu mengurus keperluannya 100 peratus," katanya.

Azizon menunjukkan foto Azreen Afiza ketika mereka bersantai di Dabong Januari lalu.
Azizon menunjukkan foto Azreen Afiza ketika mereka bersantai di Dabong Januari lalu.

Bagaimanapun Azizon meluahkan rasa sedih kerana Azreen Afiza yang bakal tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran di sebuah universiti awam pada September depan merupakan anak yang menjadi harapan keluarga.

Katanya, doktor sudah mengikut semua prosedur yang boleh membantu menyelamatkan anaknya itu.

"Lehernya juga ditebuk untuk pernafasan dan setiap hari bergantung kepada susu formula yang diberikan melalui tiub khas di hidung," katanya.

Azizon juga berusaha untuk mendapatkan bantuan daripada mana-mana pihak bagi mengurangkan beban suami yang bekerja di kedai besi dengan gaji RM50 sehari.

Lebih memeritkan apabila anaknya itu memerlukan kira-kira RM2,500 sebulan untuk kos lampin pakai buang, susu formula khas dan bayaran sewa mesin sedut kahak.

"Sebelum ini saya ada membuat kuih untuk jualan tetapi kini sudah tidak mampu lagi kerana perlu memberi sepenuh perhatian kepada Azreen Afiza," katanya.

Orang ramai yang ingin mengurangkan beban Azizon boleh menyalurkan bantuan ke akaun CIMB Bank di nombor 7050691077 (Azizon Ab Hamid) atau menghubunginya di talian 017-9353463.