'Muda hantar 3 surat kepada PH namun tidak dilayan' - Syed Saddiq

Siaran media Muda. Syed Saddiq
Siaran media Muda. Syed Saddiq
A
A
A

SHAH ALAM - Anggapan bahawa Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) 'tergesa-gesa' selain enggan bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak berasas, kata Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau mendakwa pihaknya sebelum ini telah menghantar tiga surat memohon untuk mengadakan pertemuan dengan Pakatan Harapan (PH) namun tidak dilayan.

"Tetapi bukan sahaja kami tidak diberi maklum balas, Muda seolah-olah diperlekehkan apabila Setiausaha Agung PH menjawab bahawa beliau tidak ada masa untuk membaca surat-surat kami.

"Walaupun pejabat beliau pada mulanya bersetuju dengan tarikh yang telah ditetapkan tetapi membatalkannya pada saat-saat akhir.

"Secara peribadi saya telah cuba menghubungi Perdana Menteri dan pegawainya dengan pelbagai cara sama ada dalam Parlimen, di luar Parlimen selain melalui pesanan teks, dan sebagainya namun malangnya, tiada respons," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada Isnin, Syed Saddiq memutuskan partinya akan bergerak solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini sekali gus membuka satu anjakan paradigma dalam arus politik nasional kini.

Keputusan tersebut membuatkan Muda akan bertembung dengan PH dan BN serta Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai oleh Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Susulan itu, veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang menyatakan Muda perlu bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam PRN dijangka berlangsung Ogos depan dan bukannya tergesa-gesa mahu bertanding sendiri.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, pihaknya tidak meminta jawatan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) mewah seperti kebanyakan pihak yang ada dalam kerajaan pada hari ini selain tidak meminta diberikan kontrak.

Jelas beliau, Muda hanya inginkan pertemuan supaya dapat mencadangkan jalan ke hadapan untuk membina Malaysia yang benar-benar bersifat harmoni dari sudut berbilang kaum, agama, berpendirian sederhana dan berpusatkan reformasi.

Dalam pada itu, Syed Saddiq mempersoalkan reformasi yang diperjuangkan PH sebelum ini.

"Tan Sri (Lim Kit Siang) mahukan reformasi? Saya juga mahukan reformasi tersebut. Tetapi di manakah ia? Jawatan GLC masih dianggap sebagai ganjaran politik kepada elitis-elitis politik yang patuh dan taat.

"Sehingga ke hari ini masih tiada Akta Pembiayaan Politik, tiada had dua penggal untuk Perdana Menteri dan tiada pemisahan antara portfolio Perdana Menteri dengan Menteri Kewangan (bukan hanya itu, Perdana Menteri hari ini juga memegang portfolio Menteri Wilayah dan berada di dalam Lembaga Pengampunan).

"Tiada peruntukan sama rata pada ahli Parlimen. Monopoli besar dan konsesi masih diperpanjangkan selain undang-undang zalim masih ada serta malah dicadangkan untuk diperkuatkan oleh kerajaan ini," ulasnya.

Beliau menambah senarai janji palsu tersebut tidak ada penghujungnya.

Katanya, sehingga hari ini mereka yang menggelarkan diri sebagai 'reformis' hanya diam mengenai desakan pengampunan, penangguhan tanpa had atas pertuduhan jenayah Timbalan Perdana Menteri selain skandal besar seperti perolehan pertahanan RM11.2 bilion untuk kapal tempur pesisir (LCS).

"Saya bukan berada di sini untuk menjadi hakim, juri, dan pendakwa raya. Tolong jangan melaungkan 'Kedaulatan Undang-Undang' sebelum pilihan raya tetapi terus berdiam diri apabila berkuasa.

"Bahkan pembelaan terhadap integriti kehakiman adalah seperti tidak bersungguh-sungguh. Institusi kehakiman kita ‘diserang namun ramai dalam tampuk kuasa hari ini memilih untuk berdiam diri," ujarnya.

Justeru, beliau berkata, pihaknya akan menyertai PRN untuk menjadi suara hati nurani rakyat selain memainkan peranan yang lebih besar sebagai semak dan imbang terhadap Kerajaan Perpaduan.

"Ya, jalan ke depan akan mencabar bagi Muda tetapi kita akan berusaha sebaik mungkin.

"Untuk mengubah Malaysia, Muda perlu belajar dari banyak kekalahan. Pemimpin-pemimpin Muda perlu mempunyai keberanian untuk memacu Malaysia maju," jelas beliau.