'Arau sentiasa bersama Kinabatangan' - Shahidan

Tangkap layar video Shahidan bersama Allahyarham Bung Moktar dan Mohd Kurniawan Naim.
Tangkap layar video Shahidan bersama Allahyarham Bung Moktar dan Mohd Kurniawan Naim.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkongsi satu hantaran video memaparkan dirinya bersama Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam suasana penuh mesra dan ceria.

Video terbabit dikongsikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis itu selepas Ahli Parlimen Kinabatangan baharu yang juga anak Allahyarham, Mohd Kurniawan Naim Moktar mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat pada Selasa.

Dalam hantaran pendek tersebut, Shahidan menulis kenyataan ringkas 'Arau sentiasa bersama Kinabatangan', dipercayai merujuk kepada hubungan politiknya dengan Bung Moktar yang ketika hayatnya memegang kerusi Parlimen Kinabatangan.

Video berkenaan turut memaparkan detik Shahidan memeluk dan ketawa bersama Bung Moktar, menunjukkan sisi peribadi yang jarang dilihat umum.

Video dimuat naik dengan lagu Bintang dendangan kumpulan Budak Kacamata terbabit disusuli momen Shahidan berbual dan tersenyum bersebelahan Mohd Kurniawan Naim.

Pelantikan Mohd Kurniawan Naim dilihat sebagai kesinambungan legasi politik Bung Moktar, yang sebelum ini dikenali sebagai antara ahli parlimen paling lantang bersuara di Dewan Rakyat.

Mohd Kurniawan Naim, 32, menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan pada Sabtu lalu mewakili Barisan Nasional (BN) yang sekali gus mempertahankan kerusi disandang bapanya sejak 1999.

Beliau meraih majoriti 14,214 undi, menewaskan Datuk Saddi Abdul Rahman daripada parti Warisan dan Goldam Hami

Terdahulu, Mohd Kurniawan Naim mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat dalam Majlis angkat sumpah berlangsung di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!