Keputusan The Hague bukti banyak tak kena dengan award kumpulan Sulu

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan Mahkamah Rayuan The Hague, Belanda yang menolak tuntutan Kumpulan Sulu, mengukuhkan pendirian Malaysia bahawa banyak yang tidak kena mengenai kesemua award itu, kata peguam.

Mahkamah itu pada Selasa menafikan permohonan Kumpulan Sulu untuk pengiktirafan dan penguatkuasaan award timbang tara sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) di Belanda.

Mengulas mengenai keputusan bersejarah itu, peguam di Mahkamah Jenayah Antarabangsa, Datuk N.Sivananthan berkata, keputusan itu jelas memusnahkan kaedah tidak ortodoks award yang diberikan pada mulanya dan pelantikan penimbang tara yang dipertikaikan.

"Ia mengukuhkan pendirian Malaysia dan keseluruhan award itu banyak yang tidak kena,” katanya kepada Bernama.

Sivananthan juga berkata, beliau tidak nampak sebarang prospek kejayaan jika Kumpulan Sulu mengulangi tindakan mereka untuk menguatkuasakan award akhir itu.

Berkongsi pandangan sama, peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar berkata, penghakiman itu adalah tepat kerana ia memutuskan award itu adalah bermasalah dan jika dikuatkuasakan akan memberi impak negatif kepada kedaulatan Malaysia.

"Saya tidak tahu apa tindakan mereka seterusnya. Mereka mungkin cuba menguatkuasakan award di dalam bidang kuasa mahkamah lain. Itu akan saya fikir menjadi lebih sukar dengan keputusan mahkamah di Perancis dan Belanda,” katanya.

Pada 6 Jun, Malaysia melakar kejayaan bersejarah selepas Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar award yang diputuskan oleh Dr Gonzalo Stampa pada 25 Mei 2020 dalam kes tuntutan lapan rakyat Filipina yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.

Award akhir yang diperkatakan itu dikeluarkan Stampa, seorang penimbang tara Sepanyol pada 28 Februari 2022 kepada lapan individu terbabit.

Dalam usaha mereka untuk menguatkuasakan award akhir bernilai AS$14.9 bilion, Kumpulan Sulu dilaporkan telah mencuba untuk merampas aset syarikat petroleum Malaysia, Petronas di Luxembourg dan Belanda serta menyasarkan aset diplomatik Malaysia di Perancis (termasuk kedutaan).

Pada 2019, Kumpulan Sulu membawa perkara itu kepada penimbang tara Sepanyol itu untuk mendapatkan pampasan untuk tanah di Sabah, yang didakwa dipajakkan oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878. - Bernama