Kes jenayah keganasan rumah tangga di Selangor meningkat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 423 kes jenayah keganasan rumah tangga berlaku di Selangor bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, jumlah jenayah keganasan rumah tangga yang dicatatkan di Selangor pada 2020 adalah 944 kes, manakala pada 2021 sebanyak 1,713 dan pada 2022 (1,284 kes).

Beliau berkata, meskipun statistik yang diperoleh itu agak tinggi berbanding negeri-negeri lain, namun ia bukan cerminan sebenar terhadap kenaikan jenayah domestik tersebut pada masa ini.

"Jumlah yang dicatat ini agak besar kerana Selangor mempunyai jumlah penduduk dan kepadatan yang tinggi berbanding negeri-negeri, selain faktor kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan orang ramai.

"Orang ramai sekarang ini sudah mempunyai kesedaran tinggi dan tidak lagi takut untuk membuat laporan polis berbanding sebelum ini.

"Jika sebelum ini mangsa takut ia berakhir dengan penceraian atau takut dengan pasangan masing-masing, namun ia telah berubah kerana mereka mahukan perlindungan," katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas program Kempen memerangi Keganasan Rumah Tangga Polis Selangor yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, dekat ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, jenayah keganasan rumah tangga berlaku akibat daripada tekanan kerja, perselisihan faham serta faktor kewangan.

Menurut beliau, kebanyakan mangsa yang terdiri daripada wanita mendapat perkhidmatan kaunseling daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pihak hospital dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri Selangor sendiri.

Jelas beliau, bukan sahaja mendapat rawatan fizikal, mangsa-mangsa juga diberi bantuan psikologi untuk kestabilan emosi.

Hussein (duduk kiri) dan Siti Mariah (tengah) bersama peserta program Kempen memerangi Keganasan Rumah Tangga Polis Selangor yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam pada Selasa.
Hussein (duduk kiri) dan Siti Mariah (tengah) bersama peserta program Kempen memerangi Keganasan Rumah Tangga Polis Selangor yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam pada Selasa.

"Kita di IPK Selangor akan meneruskan lagi program kesedaran seumpama ini selepas ini dan diharap ia memberi manfaat besar kepada orang ramai.

"Anggota dan pegawai yang terlibat dengan program ini akan mempunyai ilmu yang sebaiknya bagi membantu mangsa-mangsa di luar sana," ujarnya.

Sementara itu, ditanya mengenai persiapan PDRM Selangor menghadapi bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, Hussein berkata, pihaknya telah melakukan persiapan sejak sebulan lalu.

Jelasnya, persiapan bukan sahaja dibuat daripada aspek keanggotaan, malah keperluan logistik seperti kenderaan yang akan digunakan telah dipersiapkan sebaiknya.

Katanya, hampir separuh daripada 15,000 keanggotaan PDRM Selangor akan dikerahkan pada PRN nanti.

Ditanya berhubung lokasi panas PRN Selangor, beliau berkata, perkara itu akan dikongsikan dalam masa terdekat.