Elak guna ideologi ekstrem dalam kempen PRN - Mat Sabu

Mohamad
Mohamad
A
A
A

POKOK SENA - Mana-mana parti politik diingatkan agar mengelak daripada terlibat dalam ideologi ekstrem ketika meraih sokongan pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu mengingatkan masyarakat agar menolak fahaman seperti takfiri yang dibimbangi boleh mengancam keamanan dan kestabilan negara.

Menurutnya, peringatan itu dibuat ekoran terdapat kecenderungan pemimpin pembangkang tertentu yang melabel orang Islam lain yang tidak sehaluan ideologi politik sebagai kafir atau musuh Islam.

“Takfiri ialah orang Islam yang menuduh orang Islam lain sebagai murtad. Kami mengalu-alukan parti pembangkang kritik kerajaan Persekutuan, tetapi jangan label kami sebagai musuh Islam berdasarkan fatwa politik mereka yang sentiasa berubah.

"Pemikiran itu bahaya. Kita harus ambil iktibar bencana di tujuh negara Islam, iaitu Afghanistan, Iraq, Syria, Lubnan, Somalia, Sudan, Libya yang dilanda konflik akibat fahaman melampau,” katanya ketika berucap dalam ceramah Jelajah Madani Kedah peringkat DUN Bukit Lada pada Isnin.

Mohamad Sabu turut memberi amaran bahawa politik keterlaluan seperti itu bukan sahaja menimbulkan ketidakstabilan politik dan ekonomi malah menakutkan pelabur.

"Sebab itu saya katakan fahaman takfiri ini sangat bahaya. Jika salah urus, ia akan menjadi bencana," katanya.

Beliau turut menyelar tindakan pemimpin Pas yang berterusan menukar fatwa politik untuk kepentingan parti mereka.

"Fatwa Pas sentiasa berubah mengikut musim dan keadaan. Selama 30 tahun saya didoktrinkan oleh Pas bahawa UMNO itu kafir. Selepas Pas bekerjasama dengan UMNO bawah Muafakat Nasional, mereka kata itu kurniaan Allah SWT, lupa pula UMNO kafir selama 40 tahun,” katanya sinis.

Menurutnya, ia menunjukkan Pas licik mencari jalan dengan apa cara sekalipun untuk mendapatkan kuasa.

Mohamad turut mempersoal pendirian Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang disifatkan tidak tetap pendirian.

“Pas sebelum ini lupa dakwaan kata DAP parti komunis, bila kedua-dua parti membentuk tahaluf siyasi semasa PRU 2008. Ketika itu, ahli Pas boleh undi calon DAP dan sebaliknya, hingga menang lima negeri. 2015 pula DAP kafir dan komunis jadi bercerai dengan DAP, tak lama selepas itu cerai pula dengan PKR.

“Sebab itu jangan ambil peduli fatwa Pas. Saya telah ditipu oleh mereka selama 30 tahun. Saya nak beritahu penyokong Pas supaya jangan terpedaya lagi dengan fatwa pemimpin Pas,” ujarnya lagi.

Menurutnya, tidak wajar untuk pemimpin politik mengeluarkan pandangan yang buruk selain elakkan fatwa mengarut yang akhirnya membuatkan bukan Islam melihat Islam itu sentiasa berubah pendirian.

“Hentikan kempen seperti itu, kritik kami tak pandai buat kerja silakan, tetapi jangan label kami musuh Allah SWT.

“Saya yakin PRN nanti rakyat lebih faham dan tak lagi terpedaya dengan dakyah politik PRU13 kononnya Islam terancam bila Pakatan Harapan (PH) perintah negara. Dah perintah lebih tujuh bulan, ada tak?

“Saya harap PRN yang dijangka diadakan awal Ogos, semua pakat kalih belaka dan Kerajaan Perpaduan perintah Kedah dengan mandat rakyat Kedah,” jelasnya.

Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan turut membidas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang membangkitkan isu pemilikan Pulau Pinang oleh Kedah.

“Jangan biar Pulau Pinang gabung Kedah, nanti lebih ramai Cina dan DAP pula jadi menteri besar di Kedah. Nanti Siam (Thailand) pula kata nak ambil semula Kedah sebab negeri dah hebat, jadi isu pula. Wilayah Persekutuan pun nanti Selangor nak ambil balik, Sultan Sulu pula nanti nak ambil semula Sabah. Johor pula kata Singapura hak mereka dan mahu ambil semula. Habis kacau bilau.

“Sebab itu bila bercakap mengenai sejarah dan perundangan, perlu jaga sebab ia boleh menimbulkan kekeruhan jangka pendek dan panjang,” jelasnya.