UMP, Yayasan Pahang kaji sejarah kedatangan Islam di Pahang

Mahmud (dua dari kanan)menyerahkan surat kerjasama kepada Hasan pada majlis penyerahan surat kelulusan kajian dan geran penyelidikan di Yayasan Pahang baru-baru ini.
Mahmud (dua dari kanan)menyerahkan surat kerjasama kepada Hasan pada majlis penyerahan surat kelulusan kajian dan geran penyelidikan di Yayasan Pahang baru-baru ini.
A
A
A

KUANTAN - Universiti Malaysia Pahang (UMP) bersama Yayasan Pahang bakal menjalankan kajian keabsahan, pendokumentasian dan pemuliharaan kesan-kesan warisan sejarah kedatangan Islam di negeri ini.

Kajian oleh Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS), UMP itu bakal dimulakan dengan batu nisan tertulis ayat-ayat al-Quran dalam tulisan khat thulus yang dijumpai di Permatang Pasir, Pekan sejak tahun 1953.

Ketua Perunding Projek dan Penyelidik, Profesor Madya Dr Hasan Ahmad berkata, kajian awal mendapati, penemuan batu nisan itu ada kaitan dengan sejarah kedatangan Islam di Pahang.

Menurutnya, penemuan batu nisan itu tercatat dalam 'The Malayan Historical Journal Vol. 2' iaitu artikel tentang penemuan batu nisan tersebut yang ditulis oleh Menteri Besar Pahang yang pertama, Datuk Sir Mahmud Mat.

“Pada batu tersebut tertulis ayat-ayat al-Quran dalam tulisan khat thulus di samping terdapat tarikh si mati meninggal dunia.

“Justeru, kajian lanjut berkenaan batu nisan ini perlu dijalankan memandangkan ia merupakan bukti kedatangan Islam ke Pahang,” katanya.

Beliau sebelum itu hadir pada majlis penyerahan surat kelulusan kajian dan geran penyelidikan RM100,000 daripada Yayasan Pahang di sini, baru-baru ini.

Penyerahan disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Datuk Indera Mahmud Mohd Nawawi.

Turut hadir, Pengarah Kanan (Penyelidikan), Pusat Pengurusan Penyelidkan, Profesor Dr Mohd Hasbi Ab Rahim dan Dekan Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Dr. Mohamad Hilmi Mat Said.

Dr Hasan yang juga Pengarah ITKAS berkata, hasil kajian itu nanti akan didokumentasikan sebagai rujukan ramai.

“Kajian lanjut berkenaan dengan batu nisan ini juga bagi membuktikan sama ada tarikh kedatangan Islam ke Pahang lebih awal daripada tarikh kedatangan Islam ke Terengganu,” jelasnya.

Sementara itu, Mahmud berkata, usaha yang digerakkan UMP itu amat signifikan dan selari dengan matlamat Yayasan Pahang dalam memastikan warisan sejarah negeri Pahang terutamanya kawasan batu nisan itu dijumpai dapat dipelihara dan dipulihara menerusi kajian tersebut.

"Kajian itu melibatkan pensyarah UMP dari ITKAS dan PSK bersama beberapa universiti serta agensi luar lain termasuklah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Jabatan Warisan Negara (JWN) dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip)," katanya.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman pula berkata, kajian itu merupakan salah satu inisiatif di bawah ITKAS.

Beliau berkata, kajian itu berkait rapat dengan fungsinya dalam menjalankan aktiviti penyelidikan dan menyediakan khidmat perundingan berdasarkan kepakaran UMP kepada kerajaan negeri dan pihak-pihak berkepentingan.

"Geran penyelidikan yang diluluskan Yayasan Pahang ini satu pencapaian yang membanggakan dan bertepatan dengan tujuan ITKAS ditubuhkan dengan salah satu objektif utamanya menjalankan penyelidikan berkait dengan sejarah dan tamadun Pahang.

"Semoga kajian ini menjadi titik permulaan kerjasama antara ITKAS, UMP dan Yayasan Pahang serta membuka ruang bagi kerjasama dengan pelbagai pihak lain pada masa akan datang," ujarnya.