Penonton lebih selektif, pilih naskhah berkualiti

Filem Polis Evo 3 meraih kutipan tiket RM50 juta dalam tempoh 24 hari.
Filem Polis Evo 3 meraih kutipan tiket RM50 juta dalam tempoh 24 hari.
A
A
A

KEJAYAAN filem Polis Evo 3 terbitan Astro Shaw bersama Skop Productions dan TGV Pictures yang meraih kutipan tiket RM50 juta dalam tempoh 24 hari rasmi termasuk tayangan awal baru-baru ini seharusnya menjadi pembakar semangat buat penggiat filem tempatan mencipta kejayaan serupa.

Dalam kemelut industri perfileman tanah air yang dikatakan berada pada tahap membimbangkan apabila penonton lebih cenderung memilih filem luar sebagai pilihan, filem arahan Syafiq Yusof seperti memberi isyarat kepada penonton.

Begitu juga dengan kejayaan cemerlang yang diraih filem-filem lain seperti Mechamato The Movie, Air Force: Selagi Bernyawa dan Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan turut membuka mata banyak pihak.

Kejayaan filem-filem tersebut membuktikan bahawa jumlah penonton ke pawagam masih tinggi, cuma sebahagian besar penonton hari ini lebih bersikap selektif menentukan filem apa yang ingin ditonton.

Bukan soal cenderung kepada filem antarabangsa tetapi sebahagian besar mereka hanya mahu menonton filem yang dirasakan berbaloi, tidak kiralah daripada produksi tempatan mahupun luar negara.

Apatah lagi, dengan harga tiket wayang semakin tinggi, sudah tentu mereka tidak mahu buang duit untuk menonton naskhah yang tidak menepati cita rasa.

‘Kepercayaan’ yang merosot terhadap kualiti naskhah dikatakan antara punca utama penonton hilang minat untuk menonton filem tempatan di panggung. Mungkin tidak 100 peratus tetapi ia dilihat mempengaruhi pilihan mereka.

Jadi, apabila sesekali muncul filem tempatan lain daripada yang lain dan memberi rasa berbeza, sokongan pastinya diberikan tanpa perlu diminta. Itulah yang telah mereka lakukan untuk filem Polis Evo 3 dan beberapa naskhah tempatan lain.

Siapa sangka naskhah tersebut berjaya mengetepikan filem antarabangsa, Fast X dengan kutipan dua kali ganda pada hari pembukaan rasmi filem tersebut yang ditayangkan pada minggu sama, sedangkan filem Hollywood itu merupakan siri francais popular seluruh dunia.

Sokongan

Pihak pawagam juga memberi laluan baik dengan menyediakan jumlah slot tayangan bersesuaian dengan permintaan ramai, sekali gus sebagai tanda sokongan.

Justeru, tidak timbul isu pihak pawagam cuba sabotaj atau diskriminasi filem tempatan sebagaimana diperkatakan sesetengah pihak apabila filem mereka tidak mendapat sambutan.

Persoalannya, cukupkah sekadar Polis Evo 3, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan mahupun Mechamato The Movie, sedangkan setiap tahun banyak naskhah daripada pelbagai genre diterbitkan.

Filem tempatan harus berpaksikan kepada budaya dan identiti yang kita miliki, bukannya meminjam pengaruh yang tidak berkesudahan daripada filem luar.

Menjual filem sama seperti menjual barangan atau produk. Analoginya, jika kita menjual produk yang telah melambak di pasaran, tentu agak sukar untuk melariskan jualan.

Apatah lagi, jika kualitinya jauh lebih rendah daripada sedia ada. Begitulah juga dengan filem. Sampai bila kita mahu berpaksikan Barat dalam menghasilkan karya.

Masalah tentang kualiti dan kutipan filem tempatan sebenarnya bukanlah perkara baharu. Namun, sehingga hari ini masih belum nampak solusi total untuk mengatasinya.

Ia mungkin kerana setiap pembikin filem dilihat mempunyai misi sendiri yang adakala selari dengan kehendak penonton dan ada juga sebaliknya.

Saban tahun, puluhan filem tempatan daripada pelbagai genre membanjiri pawagam tetapi hanya beberapa sahaja yang berjaya menarik perhatian.

Justeru, usah berterusan menyalahkan penonton atau mana-mana pihak apabila filem yang dijual tidak mampu menarik perhatian khalayak atau dalam erti kata lain tidak laku di pasaran.

Sebaliknya, renunglah kekurangan produk yang dihasilkan dan bertanggungjawablah dengan setiap apa diberikan kepada umum.

Setiap naskhah filem perlu ada hala tuju dan sasaran tersendiri dalam aspek kualiti. Apa pun pendirian yang dipegang oleh pembikin filem, aspek kualiti mesti berada di tangga paling atas dan tiada kompromi. Pada masa sama, mereka juga harus lebih terbuka dan berlapang dada menerima kritikan.

Bersikap defensif bukanlah sikap yang baik untuk menjadi penggiat seni. Sama ada kritikan tersebut bersifat positif atau sebaliknya, jadikan ia sebagai panduan untuk penghasilan filem pada masa akan datang.

* Wawann Mohd ialah Wartawan Hiburan Sinar Harian