Berhati-hati keluar kenyataan libat integriti, kedaulatan wilayah negara

Datuk Armizan Mohd Ali.
Datuk Armizan Mohd Ali.
A
A
A

KOTA KINABALU - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali menggesa semua pihak khususnya pemimpin tempatan supaya lebih cermat serta berhati-hati mengeluarkan kenyataan mahupun mengambil tindakan apabila melibatkan integriti dan kedaulatan wilayah dalam Persekutuan Malaysia.

Beliau berkata, sebarang tindakan atau kenyataan yang dikeluarkan tanpa kajian dan penelitian dikhuatiri boleh menjadi asas untuk mana-mana pihak luar mempertikai kedaulatan tanah air.

"Kita tidak mahu sesuatu kenyataan dan tindakan dimanipulasi serta mencetus asas tindakan bagi mana-mana pihak luar untuk mempertikai kedaulatan tanah air.

"Serahkan kepada pihak berkuasa untuk menentukan sebarang tindakan melibatkan kedaulatan negara berpandukan kepada undang-undang, peraturan dan prosedur yang berkuat kuasa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi interaksi bersama Majlis Perundingan Pelajar Sabah di sini hari ini.

Armizan juga berkata, tidak ada kenyataan dan tindakan unilateral mana-mana pihak yang boleh mengatasi dan membelakangkan kepentingan besar negara.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mencadangkan agar kerajaan membawa kes tuntutan kumpulan mendakwa waris Kesultanan Sulu ke atas Sabah ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk penyelesaian mutlak.

Semalam, akhbar tempatan melaporkan Ahli Parlimen Semporna itu sebagai berkata kerajaan perlu mengambil langkah tegas untuk menghalang mereka yang mengaku waris kesultanan Sulu daripada menuntut Sabah.

Armizan berkata, bidang kuasa ICJ ialah mendengar dan mengadili pertikaian undang-undang antara negara, justeru perkara itu tidak termasuk dalam bidang kuasa ICJ kerana tuntutan pihak yang mendakwa sebagai waris Sulu dibuat oleh sekumpulan individu dan bukannya sebuah negara.

"Dalam kes Sabah, tidak ada apa-apa perkara yang perlu dituntut oleh Malaysia, kita tidak menuntut hak dan wilayah mana-mana negara. Malaysia itu Sabah, dan Sabah itu Malaysia," katanya.

Beliau berkata, Persekutuan Malaysia ditubuhkan melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan ia adalah sebuah perjanjian antarabangsa yang diiktiraf serta didaftarkan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai UN Treaties pada 29 Sept 1970.

Armizan berkata, pengiktirafan kepada kedaulatan Persekutuan Malaysia sekali gus bermaksud pengiktirafan kepada Sabah sebagai sebuah wilayah berdaulat dalam Persekutuan Malaysia.

Pada 8 Jun lepas, Malaysia melakar kejayaan bersejarah apabila Mahkamah Rayuan Paris memutuskan untuk mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar sebahagian award yang diputuskan Dr Gonzalo Stampa (penimbang tara) pada 25 Mei 2020 dalam kes tuntutan lapan rakyat Filipina yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.

Kumpulan Sulu itu mengambil tindakan undang-undang melalui proses timbang tara antarabangsa terhadap Malaysia di empat negara iaitu Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda manakala Kerajaan Malaysia telah serta sedang mengambil pelbagai tindakan balas perundangan terhadap mereka. - Bernama