PRN: Parti politik diberi peringatan tidak sentuh isu 3R

Saifuddin Nasution - Foto Bernama
Saifuddin Nasution - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi peringatan kepada parti politik yang terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) supaya tidak menyentuh isu sensitif melibatkan agama (religion), raja (royalty) dan kaum (race).

Beliau berkata, jika perkara sedemikian berlaku menjelang PRN tidak lama lagi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan undang-undang dan boleh disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Mana-mana parti (politik) bebas memberikan apa jua pandangan berbeza tidak kira sama ada pandangan terhadap kerajaan yang memerintah sekarang asalkan tidak menyentuh aspek 3R.

"Berpolitik gaya 3R merupakan trend terkini yang saya lihat tidak ‘surut’ dan saya percaya ia akan berterusan menjelang PRN nanti,” katanya dalam sesi eksklusif editor media bersama Menteri Dalam Negeri di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, di sini baru-baru ini.

Enam negeri yang akan mengadakan PRN ialah Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, tindakan sedemikian akan dipantau Pasukan Khas 3R yang ditubuhkan sejak Mac lepas.

"Saya percaya kepimpinan PDRM di bawah Tan Sri Razarudin Husain yang baru dilantik sebagai Ketua Polis Negara akan memberi tumpuan kepada trend berkenaan (politik gunakan isu 3R),” katanya.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai persiapan PRN di enam negeri berkenaan, beliau berkata, PDRM sentiasa berada pada tahap bersiap siaga dan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) bagi menghadapi pilihan raya itu.

"SOP berkenaan antaranya memberi jaminan keselamatan terhadap rakyat yang keluar mengundi, selain memastikan tidak berlaku pelanggaran undang-undang khususnya pada PRN,” katanya. - Bernama