Institusi agama, NGO perlu elak masjid jadi gelanggang politik

Fisol (depan, tengah) ketika hadir ke Program 'Community Engagement' Bersama Ketua Polis Kedah di Kulim Golf & County Resort pada Selasa.
Fisol (depan, tengah) ketika hadir ke Program 'Community Engagement' Bersama Ketua Polis Kedah di Kulim Golf & County Resort pada Selasa.
A
A
A

KULIM - Institusi keagamaan termasuk badan bukan kerajaan (NGO ) disaran tidak menjadikan tempat ibadat sebagai gelanggang berpolitik sehingga mengganggu-gugat ketenteraman awam khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, pencegahan itu juga wajar agar tiada pihak mengambil kesempatan sekali gus memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin.

Menurutnya, peranan institusi agama termasuk masjid perlu memastikan setiap pengisian adalah bermanfaat serta tidak menjadikannya sebagai platform kepada penyebaran politik.

"Kita mahukan masjid bersama kita (dalam isu pencegahan). Kita tak halang ceramah agama dan aktiviti keagamaan untuk penyebaran syiar Islam tetapi kita tak mahu ia dicampuradukkan," katanya.

Fisol bergambar bersama imam masjid dan NGO.
Fisol bergambar bersama imam masjid dan NGO.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Program 'Community Engagement' Bersama Ketua Polis Kedah di Kulim Golf & County Resort pada Selasa.

Dalam masa sama, Fisol turut mengingatkan semua pihak agar tidak menjadikan perbezaan agama dan bangsa sebagai isu politik selain menghormati institusi diraja.

Selain itu, beliau turut menyarankan semua pihak berhati-hati dalam percakapan mahupun perbuatan tanpa menyentuh 3R iaitu agama (Religion), bangsa (Race) dan raja (Royalty).

Jelasnya, setiap rakyat memiliki tanggungjawab untuk memelihara keamanan tanpa mengganggu-gugat serta menimbulkan kegusaran antara satu sama lain.

Dalam program berkenaan, seramai 150 orang terdiri daripada imam masjid, pengerusi kuil dan NGO hadir ke Program Community Engagement bagi menyuarakan isu semasa kepada pihak berkuasa.

Peserta turut memberikan cadangan dalam usaha membanteras jenayah dan masalah sosial di Daerah Kulim selain mendapat peluang berinteraksi secara langsung dengan Ketua Polis Kedah.