Institusi diraja berhak tegur kerajaan: Abdul Hadi

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang
A
A
A

MARANG - Institusi diraja berhak untuk memberikan sebarang pandangan, teguran mahupun kritikan terhadap pentadbiran di negara ini demi kepentingan rakyat dan negara, demikian menurut Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, tiada salahnya teguran dibuat terdapat kerajaan Pakatan Harapan (PH) jika itu untuk kebaikan semua.

"Institusi diraja mempunyai kaitan dengan kerajaan dan rakyat jadi, bukan kesalahan jika pihak istana campur tangan dalam hal-hal tertentu.

"Pada saya tak salah untuk (istana) memberi pandangan kerana sesi pemerintahan kita merangkumi istana dan juga kalangan politik," katanya kepada media ketika ditemui di kediamannya selepas berakhir kuliah di Masjid Rusila di sini, hari ini.

Beliau berkata, politik di Malaysia merentasi semua lapisan masyarakat di negara ini.

"Ia luas dan bukan parti politik sahaja tetapi termasuk raja berperlembagaan," ujarnya.

Abdul Hadi berkata demikian sebagai respons kepada krisis yang dikatakan berlaku antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim membabitkan pelbagai isu termasuk Statut Rom.

Kerajaan PH didakwa cuba menghapuskan Raja-Raja Melayu tetapi menarik diri daripada meratifikasi Statut Rom selepas mendapat bantahan pelbagai pihak.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, tanggapan pihak tertentu bahawa kerajaan PH tidak bekerjasama dan mengiktiraf peranan Raja-Raja Melayu adalah salah dan tidak betul.

Muhyiddin menjelaskan, hubungan kerajaan PH dengan Raja-Raja Melayu masih baik dan mesra malah pucuk pimpinan turut memahami penghormatan rakyat terhadap institusi diraja.

Kerajaan PH mengiktiraf kedudukan raja berpelembagaan dan peranan mereka dalam masyarakat, justeru pendekatan itu tidak berbeza dengan apa yang berlaku dalam masyarakat.