Polis lupus barang kes lebih RM200,000

Ahmad Ridhwan (tengah) menunjukkan barang kes bitcoin yang dilupuskan di IPD Kuala Langat pada Isnin. Foto: Rosli Talib
Ahmad Ridhwan (tengah) menunjukkan barang kes bitcoin yang dilupuskan di IPD Kuala Langat pada Isnin. Foto: Rosli Talib
A
A
A

BANTING - Polis melupuskan barang hasil kegiatan jenayah membabitkan 115 kes bernilai RM297,800.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, mengikut pecahan, enam kes membabitkan mesin bitcoin, rokok (4 kes), judi (83 kes) dan lain-lain kes (19 kes).

Polis melupuskan pelbagai kes hasil jenayah bernilai lebih RM200,000 di IPD Kuala Langat pada Isnin. Foto: Rosli Talib
Polis melupuskan pelbagai kes hasil jenayah bernilai lebih RM200,000 di IPD Kuala Langat pada Isnin. Foto: Rosli Talib

"Rampasan bitcoin melibatkan 335 mesin mining, enam set komputer dan enam modem manakala rampasan rokok membabitkan 1,235 karton.

"Bagi kes judi, rampasan sebanyak 19 set komputer, 89 telefon bimbit serta lain-lain peralatan," katanya dalam sidang akhbar selepas pelupusan barang kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat pada Isnin.

Tambahnya, kesemua itu membabitkan kes bagi tempoh tahun 2017 hingga 2022 yang telah dituduh dan dijatuhi hukuman mahkamah.

Mengulas mengenai modus operandi jenayah terbabit, Ahmad Ridhwan berkata, sindiket bitcoin dikesan menyewa rumah kedai sebagai pusat operasi dengan menggunakan identiti palsu.

Katanya, kegiatan curi elektrik itu dikesan apabila pemilik premis menyedari bil elektrik mencecah puluhan ribu ringgit selain polis turut menerima maklumat daripada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum tindakan diambil.

"Kegiatan rokok seludup pula dikesan susulan penahanan kenderaan seperti lori dan van yang membawa muatan barangan itu untuk diedar ke premis sekitar Lembah Klang serta negeri berhampiran," ujarnya.

Justeru, pihak polis meminta masyarakat menyalurkan sebarang maklumat mengenai kes jenayah untuk tindakan undang-undang.