Puluhan al-Quran, kitab agama tidak hangus dalam kebakaran

Naskhah al-Quran dan kitab agama masih tersusun rapi di dalam rak dalam kebakaran di SMI Addimyati di sini pada Ahad. Gambar kecil: Mohd Anuar
Naskhah al-Quran dan kitab agama masih tersusun rapi di dalam rak dalam kebakaran di SMI Addimyati di sini pada Ahad. Gambar kecil: Mohd Anuar
A
A
A

KUALA SELANGOR - Pengetua Sekolah Menengah Islam (SMI) Addimyati, Kampung Assam Jawa, Mohd Anuar Fitri Jusoh terkejut apabila mendapati hanya al-Quran dan kitab agama saja terselamat daripada dijilat api dalam kejadian kebakaran sekolah itu pada Ahad.

Mohd Anuar berkata, selepas kejadian itu, bahagian bumbung dan sebahagian dinding bangunan terbabit terbakar, namun rak menempatkan puluhan al-Quran dan kitab agama di dalam surau masih dalam keadaan sempurna.

"Saya anggap inilah keajaiban ALLAH yang memelihara kitab suci ini daripada dimamah api," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Isnin.

Jelas beliau, kebanyakan barangan asrama seperti katil dan almari serta dokumen pelajar rentung dalam kebakaran itu.

"Sebelum ini saya hanya dengar melalui laporan berita, tetapi semalam (Ahad) kita melihat sendiri kemuliaan al-Quran ini terpelihara," jelasnya.

Katanya, kebanyakan naskhah al-Quran dan kitab agama itu hasil sumbangan daripada orang ramai.

Jelas beliau, anggaran kemusnahan dan kerosakan bangunan asrama yang menempatkan surau, perpustakaan dan bilik kuliah kecil serta tandas masih dalam proses penilaian.

Sehubungan itu, katanya, pihak sekolah melancarkan tabung derma bagi memohon sumbangan daripada pelbagai pihak bagi membantu mengurangkan kos terlibat.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke dalam akaun Maybank atas nama SMI Addimyati (562133512052) atau menghubunginya di talian 017-2034094.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan, seramai 13 pelajar perempuan dan seorang warden sekolah itu cemas dalam kebakaran di bangunan asrama sekolah itu pada Ahad.

Difahamkan kebakaran berlaku ketika semua pelajar berusia 13 hingga 17 tahun dan warden asrama berusia 21 tahun yang berada dalam bilik kecil bangunan asrama itu sedang nyenyak tidur.