Kerajaan Perpaduan terbuka dikritik, tolak fitnah ketaasuban

Anwar beramah mesra dengan pelajar sekolah agama yang menyambut ketibaan beliau di SMA Nahdhah Hasanah Melele, Kodiang, pada Sabtu.
Anwar beramah mesra dengan pelajar sekolah agama yang menyambut ketibaan beliau di SMA Nahdhah Hasanah Melele, Kodiang, pada Sabtu.
A
A
A

KODIANG - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Perpaduan sentiasa terbuka terhadap sebarang kritikan dan pandangan semua pihak untuk kebaikan negara, namun jangan sesekali menggunakan agama sebagai serangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan sesetengah pihak yang melemparkan fitnah sehingga membawa kepada politik perpecahan seharusnya dielakkan berleluasa.

Menurutnya, sikap taasub yang berlebihan kepada parti-parti tertentu sehingga 'label-melabel' kepada pihak yang tidak sehaluan dengan mereka hanya menjadikan keadaan semakin parah.

“Saya minta sekali lagi. Kalau kita nak pertahankan Islam, ada banyak lagi boleh kritik saya. Saya boleh terima kalau kritik kerajaan saya, tetapi fitnah tidak boleh.

“Ada pandangan umpamanya kalau tak bersama parti ini bukan Ahli Sunnah Wal Jamaah, bukankah itu sudah tahap parah. Saya harap golongan agamawan tegurlah, janganlah ketaasuban kepada parti mengatasi segalanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Jubli Intan Sekolah Menengah Agama (SMA) Nahdhah Hasanah Melele, Kodiang di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Anwar turu menegaskan bahawa negara ini memberi jaminan bebas bersuara, namun elakkan terbawa-bawa dengan politik perpecahan.

“Saya sudah minta Menteri Pendidikan bincang semula kurikulum pendidikan Islam. Panggil wakil-wakil tok guru dan kita mahu bawa perubahan sebaik mungkin.

"Saya tidak memimpin kerajaan yang mengatakan kami sudah sempurna dalam menabur jasa, boleh tegur, boleh kritik, tetapi janganlah fitnah saya atau anggap saya sesat dengan begitu mudah,” ujarnya.

Sementara itu, tambah Anwar, pendirian Kerajaan Perpaduan tidak berubah dalam isu kalimah ALLAH.

“Keputusan Majlis Raja-Raja Melayu ialah kalimah ALLAH digunakan di Semenanjung Tanah Melayu hanya untuk orang Melayu dan Islam. Kita tak ubah. Tak kan saya nak langgar titah Raja-Raja Melayu?

“Dengan peraturan sekarang, kalau kita saman kita kalah. Sebab itu peraturan lama oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN). Dulu mengatakan untuk Sabah Sarawak karya-karya boleh dimasukkan. Jadi kalau kita saman, kita kalah kerana hakim hanya ikut peraturan,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan hanya mahu meminda peraturan lama yang meragukan, bukannya meminda istilah atau penggunaan kalimah ALLAH.

“Yang kita nak buat, peraturan yang mengatakan boleh import karya-karya yang ada nama ALLAH untuk Kristian. Persembahkan dahulu kepada Sultan Selangor, dengan persetujuan dan surat daripada kabinet, bawa kepada Majlis Raja-Raja Melayu yang mana nak pinda.

“Bukan pinda keputusan kalimah ALLAH, pinda peraturan yang mengelirukan dari segi peraturan lama yang dibuat oleh KDN,” katanya.