TVET: Kerjasama pemain industri perlu dipertingkat

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kerjasama pemain industri dengan institusi program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) perlu dipertingkatkan, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, TVET memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah pengangguran belia kerana ia menyediakan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan industri.

"Industri seharusnya lebih terlibat dalam membantu mengembangkan program latihan bagi pelajar TVET dan perlu memberi sokongan dalam penyediaan kemudahan serta infrastruktur seperti menawarkan peralatan dan teknologi terkini untuk pengajaran dan pembelajaran.

"Kerjasama dengan industri juga membolehkan institusi TVET menawarkan program lebih berkualiti dan relevan dengan keperluan pasaran kerana mereka adalah pihak paling mengetahui permintaan industri," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Konvokesyen dan Pentauliahan Kemahiran Malaysia Kolej Yayasan Pahang (KYP) Advanced Skills 2023 di Dewan Utama Majlis Bandaraya Kuantan pada Sabtu.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah KYP Skills Sdn Bhd Datuk Dr Ahmad Munawar Abdul Jalil dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang (YP) Datuk Mahmud Mohd Nawawi.

Wan Rosdy berkata, kerjasama erat pihak industri juga dilihat dapat meningkatkan kecekapan dan produktiviti kerana pekerja yang berkualiti serta terlatih mampu meningkatkan prestasi sekali gus mengurangkan kos operasi.

Dalam ucapannya, Wan Rosdy turut berbangga dengan usaha sama YP, KYP Advanced Skills dan Maahad Tahfiz Negeri Pahang melaksanakan program Tahfiz Mahir dengan tajaan penuh YP, bagi memperluaskan bidang kemahiran dalam kalangan penuntut tahfiz untuk memberi jaminan kerja dengan latihan yang diiktiraf di peringkat nasional.

"Bagi tujuan itu, kerajaan negeri menerusi Belanjawan Pahang 2023 memperuntukkan RM1 juta bagi pembangunan institusi latihan kemahiran baharu Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional Maahad Tahfiz di Penor (Kuantan)," katanya.

Pada majlis itu, seramai 290 graduan menerima sijil terdiri daripada 154 penerima Diploma Kemahiran Malaysia dan Sijil Kemahiran Malaysia manakala 136 lagi menerima pentauliahan kemahiran Malaysia. - Bernama