SPRM serah polis siasat kematian suspek kes ubah wang haram

Azam merasmikan Mesyuarat Agung Kali Ketiga Pemerhati Rasuah Malaysia di Universiti Putra Malaysia pada Sabtu.
Azam merasmikan Mesyuarat Agung Kali Ketiga Pemerhati Rasuah Malaysia di Universiti Putra Malaysia pada Sabtu.
A
A
A

SERDANG - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung siasatan kematian seorang suspek kes pengubahan wang haram pada Khamis lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, individu tersebut meninggal dunia di hospital selepas didapati sakit.

"Tidak ada isu saya campur tangan kerana saya sudah serahkan kepada polis untuk menyiasat dan maklumkan sebab-sebab kematian individu berkenaan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali Ketiga Pemerhati Rasuah Malaysia di Universiti Putra Malaysia di sini, pada Sabtu.

Pada Khamis, media melaporkan seorang suspek yang ditahan SPRM dalam operasi membongkar kegiatan perlombongan bijih haram di Raub disahkan meninggal dunia, pagi hari sama.

Azam dilapor berkata, lelaki itu antara tiga suspek yang ditahan berhubung kes pengubahan wang haram berkaitan perlombongan haram, meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Jelasnya, pegawai SPRM mendapati, lelaki itu seperti tidak sihat ketika siasatan sebelum terus dibawa ke hospital dengan segera.

"Pegawai SPRM yang terlibat dalam siasatan itu akan memberikan keterangan kepada polis berhubung kejadian tersebut.

“SPRM telah menyerahkan semua rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi memudahkan siasatan polis,” ujarnya.

Difahamkan tiga termasuk penjawat awam ditahan SPRM kerana disyaki terlibat dalam kegiatan perlombongan haram serta pengubahan wang haram berjumlah kira-kira RM1.8 juta di Raub, Pahang.

ARTIKEL BERKAITAN: Seorang suspek ubah wang haram ditahan SPRM, meninggal dunia

SPRM tahan dalang lombong haram di Raub