SPRM tahan dalang lombong haram di Raub

Tiga individu ditahan disyaki terlibat dalam kegiatan perlombongan dan pengubahan wang haram kira-kira RM1.8 juta di Raub, Pahang.
Tiga individu ditahan disyaki terlibat dalam kegiatan perlombongan dan pengubahan wang haram kira-kira RM1.8 juta di Raub, Pahang.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu disyaki terlibat dalam kegiatan perlombongan haram serta pengubahan wang haram kira-kira RM1.8 juta di Raub, Pahang.

Menurut sumber, tiga suspek lelaki berusia antara 40 hingga 60-an yang terdiri daripada pengusaha lombong dan penjawat awam telah ditahan pada Rabu, jam 6.30 petang di Bentong, Pahang.

Sumber berkata, modus operandi sindiket adalah melakukan kegiatan melombong di luar kawasan perlombongan yang telah ditetapkan atau dibenarkan kepada syarikat mereka.

"Mereka melakukan kegiatan perlombongan pada lewat petang hingga ke malam agar tidak dapat dikesan oleh pihak penguat kuasa serta cuba menyogok pihak terlibat sekiranya kegiatan tersebut diketahui.

"Selain menahan tiga suspek yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut, sebanyak enam buah jentera pengaut dan 'dumper truck' turut disita," katanya pada Khamis.

Tambahnya, suspek dipercayai telah melakukan kegiatan itu sejak tiga tahun lalu dan pernah dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa, namun tetap berdegil melakukan perbuatan tersebut.

Menurut sumber, difahamkan akibat kegiatan perlombongan haram itu, kerajaan negeri Pahang telah mengalami kerugian sebanyak RM4.7 juta.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman mengesahkan tangkapan tersebut.

Jelas beliau, pihaknya telah melakukan pemantauan di kawasan tersebut sejak tiga minggu lalu sebelum melancarkan operasi pada Rabu.