Seorang suspek gubah wang haram ditahan SPRM, meninggal dunia

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan seorang suspek yang ditahan berhubung siasatan kes pengubahan wang haram serta perlombongan haram di Pahang meninggal dunia pada Khamis.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, suspek yang merupakan salah seorang daripada tiga yang ditahan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di sebuah hospital.

"Ketika siasatan, pegawai kami mendapati lelaki itu seperti tidak sihat dan bertindak membawanya ke hospital dengan segera.

"Beliau telah meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital," kata beliau dalam satu kenyataan pada Khamis.

Azam berkata, beliau memberi jaminan bahawa SPRM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis yang melakukan siasatan berhubung kejadian tersebut.

Malah tambah beliau, pegawai SPRM yang terlibat dalam siasatan itu akan memberikan keterangan kepada pegawai penyiasat.

"SPRM juga telah menyerahkan semua rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi memudahkan siasatan polis," ujarnya.