Pelepasan cukai kepada syarikat tak amal diskriminasi

Ahmad Yazid pada Program Di Sebalik Isu: 'Diskriminasi Kaum Masih Wujud Dalam Dunia Pekerjaan' yang berlangsung di Auditorium Kumpulan Karangkraf pada Jumaat. - Foto SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Ahmad Yazid pada Program Di Sebalik Isu: 'Diskriminasi Kaum Masih Wujud Dalam Dunia Pekerjaan' yang berlangsung di Auditorium Kumpulan Karangkraf pada Jumaat. - Foto SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran untuk memperkenalkan pelepasan cukai kepada mana-mana syarikat yang tidak mengamalkan diskriminasi terhadap pekerjaan sama ada atas faktor perbezaan agama atau bangsa.

Felo kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM), Ahmad Yazid Othman berkata, langkah tersebut dapat memberi kesedaran kepada perindustrian di Malaysia untuk menyemai kesatuan antara pelbagai kaum dalam satu komuniti pekerjaan.

“Kriteria tidak mengamalkan diskriminasi ini terdiri dari segi pengambilan dan layanan pekerja dengan lebih adil tanpa tertumpu kepada satu- satu kaum.

“Juga, termasuk pengambilan rakan kongsi perniagaan yang berbilang kaum. Maka, secara tidak langsung ia dapat menghapus isu yang pernah berlaku di mana terdapat syarikat-syarikat besar dimiliki oleh sesebuah bangsa sahaja.

“Maka, disini, ia akan buka ruang kepada seluruh rakyat untuk cuba memahami antara satu sama lain, kita akan sentiasa berusaha mencari kesatuan dan kesefahaman,” katanya ketika program Di Sebalik Isu: Diskriminasi Kaum Masih Wujud Dalam Dunia Pekerjaan, pada Jumaat.

Program yang dihoskan Finaz Yunus itu turut dihadiri oleh Pengarah Urusan Berjaya Mega Motors, Boss James.

Dalam pada itu, Ahmad Yazid menambah, kerajaan juga digesa untuk menyelesaikan isu pemakaian tudung dalam pekerja di sektor perhotelan.

Jelas beliau, perkara tersebut tidak seharusnya berlaku kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang agama rasminya merupakan Islam.