Jual pasir, air ke Pulau Pinang bukan sebab kerajaan sama - Saarani

Saarani
Saarani
A
A
A

IPOH - Keputusan kerajaan Perak untuk menjual mineral dan hasil bumi seperti pasir mahu pun air terawat kepada kerajaan Pulau Pinang bukan disebabkan kedua-dua negeri itu ditadbir oleh gabungan parti yang sama.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penjualan pasir mahu pun air terawat terbuka kepada mana-mana negeri yang bersedia membeli dengan harga bersesuaian.

Menurutnya, keputusan itu secara tidak langsung akan menambah pendapatan hasil kepada kerajaan negeri namun ia tetap bergantung kepada keperluan pengguna di dalam negeri.

"Kita jual pasir sekarang ini, kepada siapa nak beli, kita juallah. Jadi tak ada masalah kalau Pulau Pinang menjadi pasaran kita dengan harga yang bersesuaian, kenapa tidak? Kita nak jual pasir kepada sesiapa nak beli.

"Tak ada kena mengena dengan kerajaan perpaduan atau parti-parti ini. Tapi bergantung sama ada air Perak cukup ke tidak. Kalau kerajaan Kelantan tak ada air, mereka nak beli, jadi kita jual tapi bayarlah, jangan tak bayar," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Setahun Perak Sejahtera 2030 di Pusat Konvensyen Ipoh di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria yang mengingatkan Saarani supaya berpegang kepada pendirian untuk tidak menjual air Perak kepada Pulau Pinang.

Razman berkata, ketika Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini, Saarani menyatakan bahawa mesti menyelesaikan isu dan keperluan air di negeri ini terlebih dahulu.

Pada 12 Jun lalu, Saarani mendedahkan kerajaan Perak sedia berbincang dengan kerajaan Pulau Pinang yang berhasrat ingin membeli air terawat di negeri ini selepas menerima surat daripada negeri jiran itu dua bulan lalu berkaitan perkara tersebut.

Sebelum itu, kerajaan Perak turut bersedia mempertimbangkan penjualan pasir dan batu kepada negeri Pulau Pinang bagi projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI) sekiranya mendapat permintaan.