Iktiraf bak kut teh: Menteri perlu teliti Akta Warisan Kebangsaan

Nor Azah Abdul Aziz
Nor Azah Abdul Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Datuk Seri Tiong King Sing perlu meneliti Akta Warisan Kebangsaan 2005 terlebih dahulu sebelum mengiktiraf 'bak kut teh' sebagai makanan warisan kebangsaan.

Exco Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Nor Azah Abdul Aziz berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan tindakan menteri itu yang terburu-buru mahu menjadikan makanan berasaskan babi itu dimasukkan dalam senarai makanan warisan kebangsaan.

Menurutnya, kenyataan King Sing itu songsang tanpa melihat sentimen kaum dan agama di negara ini, yang majoritinya terdiri daripada kaum Melayu dan beragama Islam.

"Saya cadangkan beliau merujuk Akta Warisan Kebangsaan 2005 yang diusahakan mantan menteri terdahulu, Tan Sri Dr Rais Yatim.

"Akta itu menyebut Menteri tidak boleh menyediakan atau mengeluarkan apa-apa dasar, pernyataan atau arahan di bawah subseksyen (1) jika perkara, urusan, strategi atau pengendalian pemuliharaan dan pemeliharaan warisan melibatkan kuasa atau bidang kuasa Negeri melainkan jika pihak berkuasa negeri yang berkaitan telah dirundingi."

"Pakar-pakar bahasa memaklumkan perkataan 'Bak' itu sendiri sudah pun merujuk kepada daging babi dan mengapa ada cubaan mahu mengangkat makanan ini sebagai warisan kebangsaan, semata-mata mahu menonjolkan menu ini kepada pengunjung luar? Amat tidak masuk akal dan tidak kompeten," tegasnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau yang juga Ketua Srikandi Bukit Gelugor berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Motac, Datuk Seri Tiong King Sing yang bersedia mempertimbangkan makanan tradisional kaum Cina, bak kut teh untuk dimasukkan di dalam senarai warisan kebangsaan.

Nor Azah turut menasihatkan King Sing supaya lebih berhati-hati sebelum mengangkat martabat warisan makanan kebangsaan, pastikan prospek makanan itu boleh dimakan oleh semua lapisan rakyat, bukannya daging babi.

Pada 7 Jun lalu isu itu menjadi tumpuan di Dewan Rakyat selepas kewajarannya diangkat sebagai makanan kebangsaan dipersoalkan oleh Ahli Parlimen Langkawi Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.

Ia susulan pertanyaan daripada Jimmy Puah Wee Tse (Tebrau-PH) berhubung usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk memastikan makanan tradisi rakyat Malaysia seperti nasi lemak, bak kut teh dan laksa diangkat martabat sebagai makanan kebangsaan Malaysia.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan ketika menjawab pertanyaan itu menjelaskan makanan yang dimasukkan di dalam makanan warisan seharusnya yang boleh dimakan dan dirasai semua kaum di negara ini.