Zizie Ezette nafi bersubahat peroleh rasuah RM2.8 juta

Datuk Seri Bung Moktar Radin (kiri) dan isterinya Datin Seri Zizie Ezette A Samad (dua, kanan) hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk Felcra Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad. - Foto Bernama
Datuk Seri Bung Moktar Radin (kiri) dan isterinya Datin Seri Zizie Ezette A Samad (dua, kanan) hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk Felcra Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Pelakon terkenal Zizie Ezette A Samad dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya, Datuk Seri Bung Moktar Radin memperoleh rasuah berjumlah RM2.8 juta berhubung pelaburan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) Berhad, empat tahun lalu.

Zizie Ezette, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Berdasarkan pertuduhan, pelakon itu didakwa telah bersubahat memperoleh rasuah dengan Bung Moktar, 60, yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad daripada dua ejen pelaburan Public Mutual Berhad melibatkan jumlah RM2.8 juta.

Kesemua wang itu diberi dua ejen pelaburan Public Mutual Berhad iaitu Madhi Abdul Hamid, 38, dan Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Iktikal Sequel Fund (PITSEQ) yang mana akaun itu di bawah namanya.

Suapan tersebut didakwa sebagai upah kepada Bung Moktar yang mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan Public Bank Berhad Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati, di sini pada 12 dan 19 Jun 2015.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Umar Saifuddin Jaafar manakala wanita itu diwakili oleh peguam Datuk K Kumaraendran.

Artikel Berkaitan:

Hakim Azura Alwi membenarkan jaminan RM100 juta dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Jun sebagai sebutan semula.

Mahkamah juga memerintahkan pasport Zizie Ezette ditahan sehingga kes selesai.