Tiga sahabat terlepas tali gantung

Ketiga-tiga sahabat berkenaan bersama peguam mereka di Mahkamah Tinggi Muar, pada Khamis.
Ketiga-tiga sahabat berkenaan bersama peguam mereka di Mahkamah Tinggi Muar, pada Khamis.
A
A
A

MUAR - [DIKEMAS KINI] Tiga sahabat terlepas daripada hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis melepas dan membebaskan mereka daripada pertuduhan mengedar dan memiliki dadah lima tahun lalu.

Yuslaili Ahmad, 42, Izatul Afiqah Khairuddin, 31, dan warga Indonesia, Iman Suhatman, 34, dibebaskan dan dilepaskan daripada pertuduhan berkenaan oleh Hakim, Datuk Halijah Abbas yang berpendapat pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie setelah mendengar keterangan daripada 10 saksi serta hujahan.

Berdasarkan pertuduhan, pada 15 Oktober 2018 kira-kira jam 11.45 pagi, satu serbuan telah dilakukan di sebuah rumah di Sungai Buloh, Batu Pahat.

Dalam serbuan tersebut, dua lelaki dan seorang wanita ditahan dan serbuan turut menemui dadah di atas lantai ruang tamu rumah tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama, kesemua tertuduh dituduh di bawah Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama kerana mengedar 286.37 gram dadah berbahaya jenis 3.4 methlyenedioxymmethamphethamine (MDMA).

Bagi pertuduhan kedua, mereka dituduh di bawah Seksyen 12 (2) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama kerana memiliki Monoacetylmorphines.

Bagi pertuduhan ketiga pula, ketiga-tiga sahabat berkenaan dituduh di bawah Seksyen 12 (2) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama kerana memiliki 0.37 gram heroin.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan secara konklusif terdapat kawalan dan milikan terhadap barang-barang dadah tersebut, malah keterangan yang diterima daripada ahli kimia meragukan dan tiada kredibiliti.

Malah, kesemua tertuduh juga bukan penghuni tetap rumah tersebut selain di bawah 114g Akta Keterangan, pihak pendakwaan gagal memanggil saksi-saksi penting lain terutamanya penghuni sebenar rumah tersebut iaitu kakak kepada Yuslaili.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hidayat Wahab manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili Peguam, Sukhaimi Masud, G Subramaniam, Selvanteran Segaran dan Farhan Maaruf.