Pakej Rahmah Haji dapat sambutan

Mohd Zawawi (tengah) bersama pasukan beliau meneliti peta lokasi hotel menempatkan jemaah syarikat PJH di Tanah Suci.
Mohd Zawawi (tengah) bersama pasukan beliau meneliti peta lokasi hotel menempatkan jemaah syarikat PJH di Tanah Suci.
A
A
A

MAKKAH - Pakej Rahmah untuk menunaikan haji yang diperkenalkan pada tahun ini mendapat sambutan yang memberangsangkan apabila menjadi pilihan 35 peratus daripada kira-kira 8,500 jemaah haji.

Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji (PJH), Mohd Zawawi Bostam berkata, Pakej Rahmah RM50,000 ke bawah yang ditawarkan 22 syarikat PJH menarik minat jemaah kerana jurang yang tidak ketara daripada bayaran penuh muassasah sebanyak RM30,850.

Beliau berkata, secara keseluruhan, jemaah haji yang hadir ke Tanah Suci dengan PJH meningkat kepada 27 peratus berbanding 20 peratus pada tahun-tahun sebelumnya.

"Angka tahun ini meningkat mungkin selepas Covid-19 jemaah agak yakin untuk pilih pakej berkenaan dibantu tawaran dan promosi menarik yang diberikan syarikat terlibat,"katanya pada sidang media di Abraj Janadriyah di sini pada Selasa.

Mohd Zawawi berkata, pada tahun ini pakej syarikat PJH bermula dari RM43,257 sehingga RM250,000 dan dua peratus jemaah memilih pakej RM100,000 ke atas.

"Terdapat 250 pakej yang ditawarkan dan keistimewaannya seperti jarak yang dekat dengan Masjidil Haram, bilik selesa, sajian bufet, nisbah petugas menjaga jemaah dan lain-lain lagi.

"Syarikat berkenaan juga menawarkan nilai tambah kepada jemaah iaitu ada pakej tambahan ketika operasi Masyair, jarak penginapan ke tempat melontar lebih dekat dan sajian makanan," katanya.

Wakil syarikat PJH (tengah) yang hadir mengemukakan dokumen di pejabat operasi PJH di Abraj Janadriyah.
Wakil syarikat PJH (tengah) yang hadir mengemukakan dokumen di pejabat operasi PJH di Abraj Janadriyah.

Oleh itu pihaknya bertanggungjawab untuk memantau operasi yang diuruskan oleh syarikat terlibat supaya mereka mematuhi standard yang ditetapkan TH.

"Pada tahun ini kita membawa seramai 25 anggota untuk pantau syarikat terlibat yang terdiri daripada dua pasukan di Makkah dan satu di Madinah.

"Pasukan ini akan pastikan apa yang ditawarkan syarikat berkenaan melalui iklan dan sebagainya sama seperti yang mereka sediakan di 47 hotel di Makkah dan 21 hotel di Madinah,"katanya.

Ujar beliau, jika syarikat berkenaan tidak mematuhi standard ditetapkan maka ada beberapa peringkat tindakan seperti amaran lisan, amaran bertulis, denda kewangan atau pun digantung lesen perkhidmatan.

"Syarikat terlibat perlu mendapat markah melebihi 80 peratus bagi melayakkan mereka untuk mohon lesen pada tahun berikutnya.

"Mereka juga perlu mematuhi beberapa syarat ketat seperti kewangan syarikat kukuh sekurang-kurangnya modal berbayar RM500,000 dan kriteria lain yang telah dipersetujui bersama TH,"katanya.

Malaysia menerima kuota haji berjumlah 31,600 jemaah daripada Kerajaan Arab Saudi bagi musim haji 1444 Hijrah ini termasuk mereka yang mengikuti pakej PJH.